PETALING JAYA – Seorang lelaki maut dilanggar forklift yang dipercayai dipandu secara melulu oleh rakan sekerjanya di sebuah kilang di Banting, Kuala Langat.
Ketua Polis Kuala Langat, Mohd Akmalrizal Radzi, berkata kemalangan berlaku kira-kira 3.14 petang Khamis lalu semasa forklift dipandu seorang lelaki tempatan melalui lorong C1 dan C2 di gudang dalam kilang itu.
Pada masa sama, katanya, seorang lagi pekerja lelaki tempatan sedang membuat pemeriksaan stok kontena dan bergerak ke tengah laluan.
“Forklift sedang bergerak terus dan melanggar mangsa di laluan itu.
“Akibat kemalangan itu, mangsa berumur lingkungan 20-an tercampak dan jatuh di permukaan jalan serta mengalami kecederaan di bahagian dada,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh penolong pegawai perubatan Hospital Banting, manakala pemandu forklift berumur 30-an itu tidak cedera.
Menurutnya, pemandu forklift, saksi yang melihat kejadian itu dan waris sudah memberi keterangan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Langat.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat Nor Baiti Mustafa di talian 03-31872222 atau 014-5006072.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu dan membahayakan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001