PUTRAJAYA – Seramai 26 pelajar cemerlang tajaan Kementerian Pendidikan (KPM) berlepas ke Jordan dan United Kingdom malam tadi bagi melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dalam pelbagai bidang pengkhususan.
Semua mereka melalui proses pemilihan dan tapisan ketat serta kompetitif dan merupakan antara calon terbaik yang dipilih bagi menyertai program penajaan KPM.
“Sebaik tamat pengajian kelak, mereka akan diserap masuk ke Perkhidmatan Pendidikan KPM sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan untuk berbakti dalam bidang pendidikan negara,” kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Dalam amanat kepada pelajar sebelum keberangkatan, beliau mengingatkan mereka untuk sentiasa menjaga niat, kesabaran, akhlak serta saling menyokong antara satu sama lain sepanjang menempuh pengajian.
Penekanan turut diberikan terhadap kepentingan menuntut ilmu sebagai satu bentuk jihad intelektual dalam mengangkat martabat pendidikan dan membanteras kejahilan.
“Belajar itu lelah, tetapi ia penting untuk mengubat kejahilan umat. Ini jihad penting – jihad menuntut ilmu,” katanya.

Fadhlina turut mengingatkan pelajar sentiasa menjadi kebanggaan kepada diri sendiri, ibu bapa serta negara dengan berkata: “Make us proud of you, make your parents proud of you, and make the nation proud of you.”
Majlis pelepasan pelajar yang berlangsung dalam suasana penuh semangat turut disertai ibu bapa dan ahli keluarga.
Raut wajah bangga dan penuh harapan jelas terpancar, dengan semua pihak mendoakan kejayaan serta keselamatan pelajar sepanjang pengajian di luar negara.
KPM merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini serta mendoakan agar semua pelajar tajaan ini mencapai kecemerlangan dan kembali untuk menyumbang secara signifikan dalam pembangunan sektor pendidikan negara.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001