Malaysia gesa tindakan, hukuman tegas dikenakan terhadap Israel – Anwar

DOHA – Dunia mesti tamatkan hubungan diplomatik dan hentikan hubungan dagangan dengan Israel sebagai tekanan supaya Gaza tidak lagi diserang, kata Datuk Sei Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri turut menegaskan kecaman dan deklarasi sahaja tidak akan menghentikan serangan Israel di Gaza mahupun membebaskan Palestin.

“Gaza terus dihancurkan di hadapan mata kita. Rakyatnya menanggung kematian dan kemusnahan tanpa tandingan, keluarga dimusnahkan, hospital berkecai, kanak-kanak tertimbus di bawah runtuhan.

“Di Tebing Barat, politik kolonial rampasan berterusan tanpa halangan. Kekejaman ini diperluaskan kepada serangan dan pengeboman di Lubnan, Syria, Yaman dan Iraq, malah serangan terhadap Iran juga dilaporkan.

“Corak anarki ini menunjukkan penghinaan mutlak terhadap asas tamadun dan peradaban antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Sidang Tergempar Arab Islam di Doha, Qatar sebentar tadi.

Tambah beliau, Malaysia juga mengutuk dengan sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas bandar Doha kerana mengebom ibu negara sebuah negara berdaulat adalah perbuatan di luar undang-undang, kejam dan dilarang.

“Ini adalah serangan terhadap kedaulatan Qatar, pelanggaran undang-undang antarabangsa dan provokasi cuai yang mengancam keselamatan serantau.

“Apatah lagi kerana peranan penting Qatar sebagai pengantara di bawah kepimpinan Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, yang telah bertungkus-lumus dengan kesabaran dan kebijaksanaan untuk memupuk dialog.

“Menyerang Qatar secara terang-terangan menggagalkan usaha-usaha perdamaian ini,” katanya.

Anwar juga menegaskan, serangan itu mesti dianggap sebagai serangan terhadap semua yang berkumpul pada sidang tergempar itu.

Katanya, ia satu tindakan terkira yang tidak mempedulikan mana-mana negara demi menzahirkan rancangan Zionis Israel.

“Israel telah mengisytiharkan bahawa tidak akan wujud negara Palestin. Ini adalah pengisytiharan apartheid kekal. Ia penolakan terhadap setiap resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan hak untuk menentukan nasib sendiri.

“Rakyat kita sudah letih dengan kata-kata. Mereka menyaksikan kita mengeluarkan kecaman demi kecaman, deklarasi demi deklarasi, sementara Israel terus meningkatkan keganasan tanpa dikenakan tindakan.

“Generasi akan datang akan bertanya sama ada kita mempunyai keberanian untuk bertindak dan kami tidak meminta negara-negara melakukan lebih daripada kewajipan asas mereka,” tegas beliau.

Kepada yang mempunyai hubungan istimewa dengan Amerika Syarikat (AS), Anwar mengingatkan bahawa mereka mempunyai tanggungjawab lebih besar.

Ini kerana apabila AS mengusahakan dialog dengan Iran, Israel menjawab dengan bom. Apabila Washington menggalakkan rundingan dengan Hamas, Israel mengebom di sana sini.

“Hari ini, ketika kita bermesyuarat, sebuah flotila sekali lagi belayar ke arah Gaza, bukan membawa alat perang tetapi janji bantuan untuk sebuah rakyat yang dibedil.

“Ia adalah misi belas kasihan, dan kita mesti melakukan segala yang termampu supaya ia sampai ke pantainya.

“Membiarkannya dipulangkan dengan keganasan adalah pengkhianatan terhadap tugas kita mempertahankan yang lemah, melindungi yang tertindas, memberi makanan kepada yang lapar,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *