Barca belasah Valencia 6-0

BARCELONA, Sepanyol – Robert Lewandowski, Raphinha dan Fermin Lopez masing-masing meledak dua gol ketika Barcelona membenam Valencia 6-0 awal pagi tadi pada aksi La Liga yang terpaksa dilangsungkan di stadium latihan mereka susulan kelewatan pembukaan semula Spotify Camp Nou.

Penyandang juara Sepanyol itu kini melonjak ke tangga kedua, dua mata di belakang pendahulu Real Madrid yang mengekalkan rekod sempurna selepas menewaskan Real Sociedad, kelmarin.

Dengan kapasiti hanya 6,000 penonton, Stadium Johan Cruyff yang terletak bersebelahan pusat latihan kelab menjadi gelanggang buat aksi pertama Barca di laman sendiri musim ini dan biarpun suasananya sederhana, mutu persembahan mereka tetap bertaraf tinggi.

Ketiadaan penyerang sensasi, Lamine Yamal kerana kecederaan pangkal paha menambah kerisauan Barca, apatah lagi jurulatih Hansi Flick lantang mengkritik skuad kebangsaan Sepanyol kerana tetap menurunkannya dua kali pada aksi kelayakan Piala Dunia minggu lalu.

Namun aksi cemerlang terutama pada babak kedua membolehkan Barcelona seakan melupakan ketiadaan Yamal serta keputusan hambar seri menentang Rayo Vallecano pada aksi La Liga sebelum ini.

“Saya sangat hargai apa yang saya lihat hari ini. Ini permulaan baik selepas rehat antarabangsa,’ kata Flick yang sebelum ini kecewa dengan persembahan pasukan ketika menentang Rayo.

Sementara itu, Lopez menegaskan pasukan yang meraih tiga kejuaraan domestik musim lalu itu berada di landasan tepat.

“Mesejnya sama seperti tahun lalu, bermain dengan intensiti dan merendah diri. Saya rasa kami berada di jalan betul dan perlu teruskan cara ini,” kata pemain tengah berusia 21 tahun itu.

Flick turut memberikan penampilan sulung buat Roony Bardghji di posisi sayap kanan menggantikan Yamal selepas ketibaannya dari Copenhagen pada musim panas lalu. – AFP

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *