Di Mana UMNO Ketika Kampung Sungai Baru Bergolak?

Dari Meja Editorial

Manzaidi

KAMPUNG Sungai Baru, sebuah penempatan Melayu tradisi di tengah kota raya Kuala Lumpur kini menjadi medan pertarungan antara penduduk asal, pemaju dan kerajaan.

Isu pengusiran yang berlarutan, melibatkan penduduk yang mendakwa diusir secara keras untuk memberi laluan kepada pembangunan mewah telah mencetuskan persoalan besar, di manakah UMNO, parti yang selama ini mengangkat slogan Melayu dibela, Islam dimartabatkan?

Kampung Sungai Baru bukan sekadar deretan rumah kayu lama. Ia mencerminkan sejarah komuniti Melayu bandar yang bertahan lebih setengah abad.

Penduduk di sini membina kehidupan, mengekalkan tradisi dan mewariskan nilai kejiranan kepada generasi baharu. Bagaimanapun, dengan status tanah pajakan dan desakan pembangunan pesat, kampung ini menjadi sasaran projek hartanah bernilai bilion ringgit.

Penduduk mendakwa proses pengambilan tanah tidak telus, pampasan tidak seimbang, malah kaedah pengusiran melibatkan kekerasan pihak berkuasa. Protes aman yang diadakan beberapa kali menyaksikan insiden kecederaan, menambah luka pada komuniti yang sedia tertekan.

UMNO selama puluhan tahun tampil sebagai “payung Melayu,” mendakwa mempertahan hak tanah, warisan dan maruah bangsa. Namun, dalam isu ini, suara parti yang bukan lagi dianggap keramat bagi orang Melayu, sudah hampir tenggelam.

Di peringkat pusat, kenyataan dikeluarkan lebih bersifat umum, tanpa pendirian tegas terhadap tindakan pengusiran. Pemimpin tempatan pula dilihat lebih sibuk berpolitik dalaman daripada mendengar keluhan rakyat kampung.

Tiada sidang media besar, tiada suara lantang mendesak kerajaan campur tangan secara serius, melainkan sekadar kenyataan biasa yang tidak menyentuh akar masalah.

Pihak pemaju dan kerajaan berhujah bahawa projek pembangunan akan memodenkan kawasan itu dan memberi pulangan ekonomi. Namun, pembangunan tanpa keadilan sosial hanyalah peminggiran yang dilabel kemajuan.

Apakah pembangunan yang mengorbankan warisan Melayu sendiri selari dengan visi Melayu diperkasa yang UMNO laungkan?

Jika kampung Melayu di tengah ibu kota pun gagal dipertahankan, bagaimana nasib kampung tradisi lain yang jauh dari perhatian media?

Isu Kampung Sungai Baru ialah ujian keikhlasan UMNO sebagai parti bangsa. Jika benar mahu membela Melayu, inilah masanya untuk menekan kerajaan agar menangguhkan pengusiran sehingga rundingan pampasan adil selesai.

Mengiktiraf status warisan kampung sebagai tapak budaya dan menjamin perumahan setara bagi penduduk asal dalam projek baharu.

Tanpa tindakan berani, UMNO berisiko dilihat hanya lantang ketika kempen pilihan raya, tetapi sunyi ketika rakyat benar-benar memerlukan.

Kampung Sungai Baru bukan sekadar pertikaian tanah. Ia cermin sikap politik semasa, adakah kepentingan rakyat marhaen diutamakan atau hanya retorik untuk undi?

UMNO perlu menjawab dengan perbuatan, bukan sekadar kata-kata. Jika tidak, slogan Melayu dibela akan kekal sebagai sejarah yang kian pudar, sama seperti kampung yang mungkin lenyap dari peta Kuala Lumpur.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *