Peguam wakili lima tertuduh remaja tak dibenar masuk inkues Zara Qairina

Oleh: Ersie Anjumin BH

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, membatalkan keputusan koroner yang membenarkan peguam mewakili lima remaja didakwa terbabit dalam kes buli Allahyarham Zara Qairina Mahathir, daripada menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu itu, bermula esok.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan itu dikemukakan semula di hadapan koroner baharu yang mengendalikan kes itu, lapor Berita Harian.

Hakim Datuk Duncan Sikodol membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada pasukan peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina dan Persatuan Guaman Sabah (SLS).

“Apa-apa perintah yang dibuat berkaitan sebarang permohonan dalam inkues itu adalah dibatalkan. Jadi, pihak-pihak bebas untuk mengemukakan semula permohonan mereka kepada koroner baharu,” katanya.

Duncan berkata, koroner sebelum ini membenarkan peguam yang mewakili lima remaja itu mengambil bahagian pada prosiding inkues bagi kes Allahyarham Zara Qairina sebagai pihak berkepentingan.

Bagaimanapun, beliau berkata, koroner terbabit menarik diri daripada mendengar kes atas alasan terdapat kepentingan peribadi.

“Memandangkan beliau (koroner) itu memutuskan untuk menarik diri daripada mengendalikan kes ini, adalah tidak wajar untuk beliau membuat keputusan terhadap isu substantif yang sepatutnya diputuskan oleh koroner baharu.

“Ia seolah-olah membuat keputusan bagi pihak pengganti dan boleh menjejaskan prinsip ketidakberpihakan,” katanya.

Duncan berkata, mahkamah juga menolak bantahan awal dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) terhadap pembabitan SLS dalam kes itu.

Beliau berkata, walaupun SLS hanya hadir dalam prosiding itu sebagai pemerhati (watching brief), peranan mereka adalah untuk memerhati perjalanan prosiding dan memberi bantuan kepada mahkamah jika diminta.

Katanya, mengikut Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah, Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa untuk memanggil dan menyemak semula rekod mana-mana prosiding mahkamah bawahan bagi memastikan ketepatan, kesahan atau kewajaran sesuatu keputusan, hukuman atau perintah, serta keteraturan prosiding yang dijalankan.

“Kuasa penyeliaan ini boleh digunakan oleh mahkamah atas inisiatif sendiri. Jadi, mana-mana pihak boleh membawa sesuatu isu kepada perhatian mahkamah untuk dipertimbangkan.

“Memandangkan isu ini membabitkan kepentingan awam dan peranan SLS sebagai penjaga kepentingan itu, saya berpendapat isu locus standi (hak berada di mahkamah) tidak seharusnya menghalang mereka daripada membangkitkan isu ini.

“Maka saya menolak bantahan awal oleh Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.

Terdahulu, pihak pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri, Nahra Dollah, membangkitkan bantahan awal terhadap permohonan SLS.

Beliau berkata, pemohon (SLS) dalam kapasiti mereka sebagai pemerhati tidak mempunyai locus standi (hak mencabar di mahkamah) untuk memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan koroner yang membenarkan peguam mewakili lima remaja untuk diterima sebagai pihak berkepentingan pada prosiding inkues, serta keputusan koroner untuk menarik diri daripada terus mendengar kes itu.

Nahra yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairus Johari dan Dacia Jane Romanus.berhujah peranan pemohon sebagai pemerhati hanya untuk memerhati prosiding inkues, tanpa hak membuat permohonan substantif.

Berhubung permohonan semakan itu, SLS mengemukakan dua persoalan undang-undang iaitu adakah koroner melakukan kesilapan dari segi undang-undang apabila membenarkan peguam bagi pihak lima remaja didakwa terbabit membuli Allahyarham Zara Qairina diterima sebagai pihak berkepentingan pada prosiding inkues dan adakah keputusan koroner itu kekal sah serta mengikat dari sudut undang-undang, memandangkan beliau kemudian menarik diri daripada mendengar kes itu kerana mungkin berlaku konflik kepentingan.

SLS dan pasukan peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina memfailkan permohonan semakan secara berasingan mengikut Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah.

Pasukan SLS diwakili Presidennya, Datuk Mohamed Nazim Maduarin, bersama Jamadi Saleh, Dominic Ghani dan Nabila Norsahar, manakala peguam bagi keluarga arwah Zara Qairina pula membabitkan Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Farrah Nasser dan Elhanan James.

Sementara itu, Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan mewakili seorang daripada remaja yang didakwa terbabit kes buli Allahyarham Zara Qairina, manakala Azhier Farhan Arisin dan Abdul Fikry Jaafar Abdullah mewakili empat lagi remaja yang terbabit kes sama.

Pada 28 Ogos lalu, Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz, yang bertindak sebagai Koroner, memutuskan prosiding inkues akan diteruskan seperti dijadualkan, namun akan didengar oleh koroner baharu iaitu Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan.

Tarikh prosiding inkues ditetapkan bermula 3 hingga 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September dan 22 hingga 30 September.

Dalam keputusan sama, Azreena membenarkan permohonan peguam mewakili lima remaja itu untuk diterima sebagai pihak berkepentingan dan diberikan akses kepada dokumen kes.

Pada 20 Ogos lalu, lima remaja mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kata-kata menghina terhadap Allahyarham Zara Qairina.

Inkues ini dijalankan susulan kematian Zara Qairina, 13, pelajar sebuah sekolah agama di Papar selepas ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai dan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada keesokan harinya.

Kematian beliau mencetuskan solidariti meluas dalam kalangan masyarakat dengan seruan daripada pemimpin negeri, aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya siasatan telus kes itu dijalankan demi keadilan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *