Jangan Perlekehkan Rakyat: Peringatan Buat Pemimpin Malaysia

Dari Meja Editorial

Manzaidi

DALAM landskap politik Malaysia yang semakin mencabar, satu perkara yang tidak boleh diambil ringan oleh mana-mana ahli politik atau pemimpin ialah perasaan rakyat.

Suara rakyat adalah nadi demokrasi dan setiap keputusan yang dibuat di Parlimen, kementerian atau pentadbiran negeri, akhirnya akan dirasai oleh rakyat di bawah.

Hari ini, kita melihat apa yang berlaku di negara jiran Indonesia, rakyat bangkit dengan penuh kemarahan, turun ke jalan raya, malah sanggup berdepan risiko apabila mereka merasakan diri diperkotak-katikkan.

Rusuhan dan tunjuk perasaan besar-besaran tercetus kerana rakyat berasa tertipu, dikhianati dan tidak dipedulikan oleh pemimpin mereka. Itu adalah pengajaran yang seharusnya menjadi peringatan keras buat kita di Malaysia.

Rakyat tidak boleh dipandang remeh. Mereka semakin matang. Mereka bukan lagi masyarakat yang mudah ditenteramkan dengan janji manis atau gimik politik.

Setiap kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin akan diteliti, setiap keputusan akan diperhati dan setiap ketidakadilan akan dibongkar.

Di era media sosial, sebarang cubaan memperlekehkan suara rakyat hanya akan menjadi senjata makan tuan.

Apabila rakyat menuntut hak, ia lahir daripada rasa terhimpit oleh kos sara hidup yang tinggi, harga barang melambung, peluang pekerjaan semakin terbatas dan jurang sosial yang semakin melebar.

Jika suara mereka dipandang sepi atau lebih buruk dan diperlekehkan, maka api kemarahan yang kecil boleh menyala menjadi gelombang besar.

Justeru, jangan main perasaan rakyat. Mereka mungkin boleh bersabar, tetapi sabar ada batasnya. Jangan sekali-kali pemimpin mempermainkan perasaan rakyat dengan kata-kata yang menyinggung atau dasar yang menindas.

Perasaan rakyat bukan bahan eksperimen politik. Mereka adalah manusia yang berjuang setiap hari untuk mencari rezeki, membesarkan anak-anak dan menanggung keluarga.

Apabila pemimpin gagal memahami denyut nadi rakyat, hilanglah kepercayaan, dan bila kepercayaan itu runtuh, rakyat tidak lagi melihat pemimpin sebagai pembela, sebaliknya sebagai pengkhianat.

Belajarlah dari negara terdekat kita, Indonesia. Apa yang terjadi di sana mutakhir ini bukan sekadar rusuhan biasa. Ia adalah simbol penolakan rakyat terhadap keangkuhan elit politik.

Rakyat marah kerana merasakan mereka hanya dipergunakan, suara mereka dipandang enteng dan hak mereka diketepikan.

Apakah kita mahu melihat Malaysia menuju ke arah yang sama? Apakah pemimpin kita sanggup mengundang gelombang kebangkitan rakyat hanya kerana gagal mendengar suara mereka? Ingatlah, sejarah membuktikan bahawa tiada kerajaan, sehebat mana pun, boleh kekal berkuasa jika rakyat sudah tidak lagi percaya.

Oleh itu, seruan kepada semua ahli politik dan pemimpin di Malaysia, hentikan sikap memperlekehkan rakyat. Dengarlah suara mereka dengan ikhlas, bukan sekadar ketika musim pilihan raya.

Jangan jadikan rakyat sebagai “alat” untuk kepentingan politik, sebaliknya jadilah “amanah” yang wajib dijaga.

Rakyat bukan musuh. Rakyat bukan penghalang. Rakyat adalah rakan seperjuangan dalam membina sebuah negara yang adil, makmur dan sejahtera.

Jika pemimpin terus berpolitik tanpa mengutamakan rakyat, maka percayalah, rakyat akan menuntut perubahan dengan cara mereka sendiri.

Kemarahan rakyat ibarat air sungai yang tenang, jika dipersempitkan, ia akan melimpah dan memusnahkan segala yang menghalang laluannya. Jangan biarkan Malaysia mengulangi kesilapan yang berlaku di negara jiran. Jadikanlah itu sebagai cermin peringatan.

Pemimpin boleh berganti, parti boleh silih berganti, tetapi rakyat tetap ada dan mereka akan sentiasa bersuara. Jangan memperlekehkan mereka, jangan mempermainkan perasaan mereka, kerana kuasa sebenar sesebuah negara terletak di tangan rakyat. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *