PAS nafi majlis presiden PN hakis peranan Muhyiddin

PETALING JAYA – Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan tidak timbul soal menghakis peranan Muhyiddin Yassin dalam Perikatan Nasional (PN) susulan penubuhan majlis presiden gabungan yang kini telah diluluskan.

Beliau berkata majlis presiden itu bukan berperanan seperti Majlis Tertinggi dan tidak mengadakan mesyuarat secara kerap tetapi hanya mengadakan perbincangan sekiranya timbul isu baharu, lapor Berita Harian.

“Pengerusi Majlis Presiden Muhyiddin Yassin orang paling senior. Soal menghakis peranan itu tidak timbul. Cuma Majlis Presiden tidak mengadakan mesyuarat secara kerap.

“Hanya sekali-sekala bila ada isu baharu, kita panggil mesyuarat. Ia bukan macam Majlis Tertinggi. Majlis Tertinggi setiap bulan mesyuarat,” katanya dipetik laporan FMT.

PAS sebelum ini mencadangkan supaya PN mewujudkan majlis presiden dianggotai semua ketua parti dalam gabungan itu bagi menambah baik dan memperkasa struktur pentadbiran.

Beberapa ahli akademik pula berpandangan penubuhan majlis berkenaan berupaya ‘mencairkan kuasa’ Muhyiddin yang juga presiden Bersatu, dalam gabungan berkenaan.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata penubuhan majlis presiden itu penting bagi mengadakan perbincangan mengenai isu yang tidak dapat diselesaikan di peringkat bawah.

Katanya, ia berperanan untuk meneliti sesuatu perkara yang dibincangkan secara lebih terperinci sebelum memberi kata putus.

“Sekarang sudah ada Majlis Presiden bertujuan untuk selesai sebarang isu yang kita buntu pada peringkat Majlis Tertinggi. Majlis Presiden akan beri kata putus.

“Contohnya pada pilihan raya sebelum ini, walaupun masa itu ROS belum luluskan, tetapi secara dalaman kita sudah wujudkan.

“Ia penting sebab tidak semua perkara kita boleh selesaikan di bawah. Ada perkara kita kena bincang, teliti satu persatu, itulah peranan Majlis Presiden.

Ada isu tidak selesai, kita bincang pada peringkat jawatankuasa dan jika negeri pun tidak boleh putuskan, kita angkat kepada Majlis Presiden,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *