Gelar rakyat sebagai ‘tolol’, rumah wakil rakyat Indonesia musnah

JAKARTA – Rumah Ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Republik Indonesia, Ahmad Sahroni dimusnahkan oleh masyarakat setempat susulan kenyataan kontroversi yang dikeluarkan oleh ahli politik itu.

Gelombang demonstrasi rakyat mengkritik prestasi serta dasar DPR di Indonesia yang memasuki fasa baharu dan lebih agresif kini tidak hanya tertumpu kepada bangunan Parlimen dan kemudahan awam lain, malah turut menyasarkan kediaman Sahroni di Tanjung Priok, Jakarta Utara pada Sabtu.

Ia susulan Sahroni sebelum ini menggelar pihak yang menyeru pembubaran DPR (Parlimen Indonesia) sebagai ‘orang tolol sedunia’.

Sahroni adalah ahli politik dari parti NasDem dan beliau menjadi politikus paling dibenci di negara jiran itu ketika ini.

Beratus-ratus penunjuk perasaan menyerbu kediaman ahli DPR itu di Tanjung Priok.

Ketika kejadian, orang ramai menyerbu rumah Sahroni dan mereka tidak membuang masa dengan terus memecahkan pagar dan kemudiannya masuk ke dalam rumah.

Rumah terbabit musnah dan beberapa barangan bernilai tinggi diambil oleh beberapa individu yang berada di tempat kejadian.

Antara barangan yang diambil ialah seutas jam tangan mewah jenama Richard Mille, kasut pelbagai jenama mewah serta patung Iron Man.

Masyarakat yang hadir tidak melepaskan peluang untuk mengambil barangan berharga milik wakil rakyat itu.

Sebuah kereta turut dimusnahkan oleh masyarakat yang sakit hati dengan kenyataan dikeluarkan Sahroni sebelum ini.

Media sosial dipenuhi dengan tanda pagar #SahroniOut dan #BubarkanDPR.

Di tengah-tengah ketegangan itu, Sahroni didakwa melarikan diri ke Singapura.

Ahmad Sahroni atau lebih dikenali sebagai ‘Crazy Rich Tanjung Priok’ adalah seorang ahli politik dan usahawan Indonesia daripada Partai NasDem.

Dilahirkan pada 8 Ogos 1977 di Tanjung Priok, Jakarta Utara, beliau membesar dalam keluarga susah sebelum berjaya dalam bidang perkapalan, minyak dan gas.

Sejak 2014, Sahroni menjadi Anggota DPR RI mewakili DKI Jakarta III, malah pernah memegang jawatan sebagai Wakil Ketua Komisi III DPR RI.

Selain politik, beliau aktif dalam komuniti automotif seperti Ferrari Owners Club Indonesia dan Harley Davidson Club Indonesia (HDCI). – Agensi

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *