Majoriti kakitangan Ferrari tidak setuju ambil Hamilton

ROME – Bekas pelumba Formula Satu, Arturio Merzario mendakwa 90 peratus kakitangan Ferrari tidak bersetuju dengan keputusan menandatangani Lewis Hamilton.

Merzario, 82, yang terkenal kerana membantu menyelamatkan Niki Lauda daripada kereta terbakar di Nurburgring pada tahun 1976, memulakan kerjaya F1 bersama Ferrari dan masih mempunyai hubungan rapat dengan pasukan Maranello.

Dia menyifatkan kehadiran juara dunia tujuh kali itu hanyalah satu langkah komersial.

“Pada pandangan saya, ketibaan Hamilton ke Maranello adalah operasi komersial. Daripada apa yang saya tahu, 90 peratus pekerja tidak bersetuju dengan keputusan ini.

“Apabila pemandu rasa tidak dihargai atau menjadi sebahagian penting daripada kumpulan, dia akan hilang motivasi. Mengapa mahu bersungguh-sungguh kejar tiga per sepuluh saat kalau tetap bermula di barisan ketiga?” soal Merzario.

Hamilton kini ketinggalan 42 mata di belakang rakan sepasukan, Charles Leclerc dalam kedudukan pelumba dan belum menaiki podium selepas 14 perlumbaan bersama Ferrari.

Sebelum rehat musim panas, Hamilton mengkritik dirinya selepas bermula di petak ke-12 dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 pada Grand Prix Hungary, malah menyifatkan dirinya “tidak berguna” serta menggesa Ferrari supaya “tukar pemandu”.

Namun, Merzario percaya masih ada sesuatu yang boleh dibuktikan oleh pelumba British berusia 40 tahun itu.

“Ini belum tamat. Dia menunggu peluang yang tepat. Dia hanya akan ambil risiko bila perlu, bukan untuk tempat kelapan.

“Jika dia mahu pergi, dia boleh cari pasukan lain. Hamilton sudah buktikan dirinya, dia bukan seperti Charles yang perlu buktikan dia seorang juara,” katanya. – AGENSI

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *