Go Hub gandakan keuntungan sebelum cukai pada suku kedua

KUALA LUMPUR – Go Hub Capital Bhd (Go Hub) berjaya menggandakan keuntungan sebelum cukai (PBT) kepada RM2.05 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025, berbanding RM1.26 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Syarikat itu dalam kenyataan berkata, keuntungan selepas cukai (PAT) turut melonjak kepada RM1.45 juta berbanding RM0.88 juta sebelumnya. Secara suku ke suku, PAT meningkat lebih tujuh kali ganda berbanding RM0.18 juta pada suku pertama tahun ini, menandakan operasi yang semakin kukuh.

Dari segi hasil, Go Hub mencatatkan pendapatan RM11.25 juta, naik 13.18 peratus berbanding RM9.94 juta pada suku sama tahun lalu, dan 19.55 peratus lebih tinggi berbanding RM9.41 juta pada suku sebelumnya.

Penyelesaian teknologi maklumat (IT) pengangkutan, termasuk Sistem Operasi Terminal (TOS), Sistem Operasi Bas (BOS) dan Sistem Kutipan Tambang Automatik (AFC), kekal sebagai penyumbang utama dengan sumbangan 98 peratus daripada jumlah hasil.

Bagi separuh pertama tahun kewangan 2025, Go Hub mencatatkan pendapatan terkumpul RM20.65 juta dengan PAT sebanyak RM1.64 juta.

Margin keuntungan kasar syarikat turut meningkat kepada 52.51 peratus, disokong oleh operasi terminal bas Gombak dan pelaksanaan Sistem Pengurusan Baris Teksi (TQMS) di Terminal 1 KLIA.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Go Hub, Tan Cherng Thong berkata, prestasi kukuh itu mencerminkan kekuatan asas pendapatan berulang syarikat.

“Permulaan operasi terminal bas Gombak dan projek TQMS KLIA menyumbang positif kepada prestasi kewangan syarikat, mengukuhkan daya tahan model perniagaan kami.

“Pencapaian ini mengesahkan nilai jangka panjang pelaburan terdahulu dalam pengembangan tenaga kerja dan projek baharu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, pendigitalan pengangkutan awam negara kekal sebagai saluran pertumbuhan utama dengan Go Hub turut aktif menyertai beberapa tender awam dan swasta.

“Dengan agenda digitalisasi dan infrastruktur yang dipacu kerajaan, kami yakin dapat mengekalkan pertumbuhan jangka panjang serta mencipta nilai mampan untuk pemegang kepentingan,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *