KOTA KINABALU – Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu hari ini menjadi tumpuan apabila lima remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Kanak-Kanak berhubung kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir sebulan lalu.
Prosiding pendakwaan berlangsung secara tertutup di hadapan Hakim Elsie Primus, selaras dengan peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001 yang menjamin kerahsiaan dan hak asasi tertuduh.
Mengikut kertas pertuduhan, kelima-lima remaja terbabit didakwa menggunakan perkataan mencela terhadap mangsa, satu kesalahan di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan (Pindaan 2025).
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman sewajarnya yang diputuskan oleh mahkamah.
Semua remaja berkenaan dibawa ke mahkamah dengan kawalan polis seawal jam 8 pagi dan turut diperketatkan sekitar kompleks mahkamah berikutan kehadiran puluhan wakil media dan orang awam yang mahu mengikuti perkembangan kes.
Turut kelihatan di pekarangan mahkamah ialah barisan peguam yang mewakili ibu arwah Zara Qairina.
Mereka hadir sebagai pemerhati, tanda sokongan moral kepada keluarga mangsa, meskipun prosiding hanya membenarkan pihak terlibat berada di dalam dewan.
Pendakwaan terhadap lima remaja itu dilihat sebagai langkah awal ke arah menegakkan keadilan.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada minggu hadapan. Buat masa ini, kesemua tertuduh masih berada dalam jagaan pihak berkuasa mengikut prosedur perundangan kanak-kanak. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001