PUEBLA – Pihak berkuasa Mexico menyiasat penemuan enam kepala manusia dipercayai lelaki yang dipenggal di antara negeri Puebla dan Tlaxcala, menurut Pejabat Pendakwa Raya Tlaxcala.
Bagaimanapun, dalam kenyataan di platform X, pihak berkuasa tidak memberikan butiran lanjut mengenai kes terbabit, memetik laporan CNN.
Setakat ini, CNN sedang berusaha memperoleh maklumat tambahan berhubung kes itu dan masih menunggu maklum balas.
Kes pembunuhan ngeri oleh kumpulan jenayah bukanlah perkara luar biasa di Mexico.
Awal tahun ini, pihak berkuasa di negeri Sinaloa menemui 20 mayat lelaki dengan kesan tembakan termasuk lima yang dipenggal kepala di sebuah jambatan lebuh raya persekutuan.
Puebla dan Tlaxcala adalah negeri di bahagian tengah yang terletak lebih 100 kilometer dari Mexico City.
Kedua-duanya bukan dalam senarai negeri paling ganas di Mexico berdasarkan angka rasmi.
Puebla menyumbang 3.4 peratus daripada 14,769 kes pembunuhan disengajakan yang direkodkan di peringkat nasional dari Januari hingga Julai, manakala Tlaxcala pula hanya 0.5 peratus.
Secara umum, Puebla dan Tlaxcala dianggap destinasi perjalanan yang lebih selamat berbanding negeri lain di Mexico, dengan Jabatan Negara Amerika Syarikat mengklasifikasikannya sebagai Tahap Dua dalam nasihat perjalanan iaitu tahap amaran kedua terendah.
Namun, pihak berkuasa mengakui lokasi geografi kedua-dua negeri itu menjadikan mereka berdepan masalah seperti pergerakan kumpulan jenayah yang terbabit dalam pengedaran dadah, pemerdagangan manusia dan kecurian bahan api.
Pada 2022, pihak berkuasa di Puebla menemui sebuah trak yang membawa 116 migran dari pelbagai negara. – Agensi
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001