SHAH ALAM – Tiga pegawai polis yang terlibat dalam siasatan awal kematian Zara Qairina Mahathir pada 16 dan 17 Julai lalu akan dirakam keterangan oleh pasukan dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.
Perkara itu dinyatakan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay yang menjelaskan, pasukan JIPS akan ke Sabah dalam sehari dua lagi untuk membuka kertas siasatan tatatertib terhadap tiga pegawai kanan polis.
Kata beliau, mereka yang dalam senarai siasatan itu ialah Ketua Polis Daerah berpangkat Superintendan, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah berpangkat Asisten Superintendan dan pegawai penyiasat berpangkat Inspektor.
“JIPS akan ke sana dalam sehari dua lagi untuk mengambil keterangan semua mereka yang terlibat dan buka kertas tatatertib.
“Setakat ini, semua mereka masih bertugas seperti biasa,” katanya pada majlis Pelancaran Buku Antologi Puisi Makan Suap terbitan Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, malam tadi.
Ayob Khan berkata, siasatan dilakukan JIPS adalah daripada aspek penyeliaan kes berkenaan dan ia juga akan dijalankan secara menyeluruh untuk tindakan selanjutnya.
Menurutnya, tindakan tegas wajar diambil terhadap mereka yang gagal melaksanakan tanggungjawab penyeliaan dan mendapatkan siasatan menyeluruh.
“Mereka kena bertanggungjawab, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak atau pegawai bertanggungjawab untuk menyelia, memantau kertas siasatan, pegawai kita tak ambil tindakan, yang tidak buat penyeliaan kita akan ambil tindakan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan tindakan tegas akan dikenakan ke atas pegawai penyiasat dan penyelianya susulan dapatan hasil siasatan pasukan Task Force Bukit Aman bahawa terdapat ketidakpatuhan kepada prosedur siasatan membabitkan kematian Zara Qairina.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001