Oleh: Bazli Razak
PULAU REDANG – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Alumni mencatat sejarah apabila menganjurkan Majlis Persaraan Bawah Laut Pertama di Malaysia yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBR).
Majlis bersejarah itu diadakan bagi meraikan persaraan guru Aznan Abas, pendidik berpengalaman lebih tiga dekad dalam bidang pendidikan di Terengganu, yang dikenali dengan kepakarannya dalam pendidikan luar dan rekreasi.
Berlangsung di dasar laut Pulau Redang, acara tersebut menyaksikan Cikgu Aznan, lengkap berbaju tema Melayu, melakukan aksi simbolik memasukkan kad buat kali terakhir ke dalam mesin pengetik waktu dengan latar banner khas di dasar laut.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin, berkata penganjuran itu membuktikan UPSI sentiasa berinovasi dalam meraikan jasa dan sumbangan warga pendidik.
“Majlis ini adalah bukti bahawa penghormatan kepada pendidik boleh diraikan dengan penuh kreativiti dan memberi impak besar kepada masyarakat.
“Kita mahu menunjukkan bahawa penghargaan tidak semestinya bersifat formal di dewan, tetapi boleh dilakukan dengan cara luar biasa yang akan dikenang sepanjang hayat,” katanya.
Menurut beliau, selain mengangkat martabat profesion perguruan, majlis ini juga menjadi wadah untuk memupuk rasa bangga dalam kalangan alumni dan komuniti pendidikan terhadap UPSI.
“Ia membuktikan kita bersedia keluar dari kebiasaan demi menghasilkan sesuatu yang unik, bersejarah dan membanggakan.
“Pengiktirafan oleh MBR ini mengukuhkan lagi jenama UPSI sebagai institusi pendidikan yang bukan sahaja unggul dalam akademik, tetapi juga kreatif dan progresif dalam meraikan pencapaian warganya,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr. Omar Firdaus Mohd Said, berkata pihaknya komited untuk menganjurkan acara berimpak tinggi yang mampu memberikan inspirasi dan mengekalkan hubungan erat antara alumni dan universiti.
“Kami mahu setiap penghargaan kepada warga UPSI dirancang dengan teliti, berbeza dan menyentuh hati.
“Idea ini juga selari dengan misi Pusat Alumni untuk memastikan alumni merasa dihargai bukan sekadar dengan ucapan terima kasih, tetapi melalui pengalaman yang memberi kenangan mendalam.
“Kami percaya cara ini akan mengukuhkan semangat kekitaan dan kebanggaan terhadap alma mater,” ujarnya.
Pengiktirafan MBR disampaikan oleh wakil rasmi, Siti Nurhanim Mohd Noh, dalam satu upacara ringkas yang turut dihadiri alumni, pegawai Jabatan Taman Laut Malaysia, penyelam profesional dan rakan-rakan Cikgu Aznan. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001