UniSZA cipta sejarah jadi tuan rumah Kejohanan Bola Sepak Antarabangsa Akar Umbi

KUALA NERUS – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bakal mencipta sejarah sebagai institusi pengajian tinggi pertama di Pantai Timur yang menganjurkan kejohanan bola sepak berstatus antarabangsa untuk peringkat akar umbi.

Sukan ini yang dijenamakan sebagai UniSZA International Youth Cup 2025, dijadualkan sepak mula pada 13 dan 14 September ini di Stadium UniSZA, Kampus Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu.

Penganjuran sulung ini menyasarkan penyertaan pasukan peringkat usia bawah 14 tahun hingga bawah lapan tahun dan sehingga kini telah menerima sebanyak 72 penyertaan dari seluruh negara termasuk pasukan dari Indonesia dan Singapura yang telah mengesahkan kehadiran.

Kejohanan ini bukan sahaja menjadi medan pertandingan, malah turut berperanan sebagai platform pembangunan bakat muda secara kompetitif dan tersusun.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UniSZA, Profesor Madya Datuk Ts. Dr. Mohd Hafiz Yusoff Che Abdullah, kekuatan UniSZA sebagai tuan rumah terletak pada fasiliti sukan bertaraf antarabangsa yang telah diiktiraf oleh badan induk sukan dunia.

Beliau menjelaskan, penganjuran ini merupakan inisiatif tanggungjawab sosial yang digerakkan oleh Akademi Bola Sepak UniSZA Soccer Kids yang telah ditubuhkan sejak dua tahun lalu untuk memperkasa akademi bola sepak tempatan dan membuka ruang kepada bakat muda untuk bersaing secara sihat.

“UniSZA mengambil langkah proaktif untuk membina ekosistem pembangunan sukan yang menyeluruh, melibatkan pelatih, ibu bapa dan komuniti secara langsung.

“Ini bukan sekadar kejohanan, tetapi platform pembentukan karakter dan sahsiah generasi baharu melalui sukan,” katanya.

UniSZA International Youth Cup 2025 mempertandingkan empat kategori usia iaitu Bawah 14 tahun, Bawah 12 tahun, Bawah 10 tahun dan Bawah 8 tahun.

Kejohanan ini menawarkan jumlah hadiah keseluruhan sebanyak RM30,000, menjadikannya antara penganjuran akar umbi paling bernilai di rantau Pantai Timur.

Penganjuran ini dilihat sebagai pemangkin kepada pembangunan sukan akar umbi yang lebih tersusun dan berimpak tinggi serta membuka ruang kepada institusi pengajian tinggi untuk memainkan peranan aktif dalam pembangunan atlet muda secara langsung.

UniSZA bukan sahaja menjadi tuan rumah, tetapi juga pelopor kepada model penganjuran sukan yang menggabungkan pendidikan, komuniti dan pembangunan bakat secara holistik. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *