Oleh: Abd. Ghaffar Daud
RANTAU PANJANG – Seorang anak muda, Mohd Shahril Fitri Rosli dinobatkan sebagai juara pertandingan karom kalah mati yang berlangsung di Kedai Kopi Gundek, Kampung Gual To’ Deh, dekat sini, semalam.
Beliau mengalahkan lawannya, Mohd Nazri Abd Rahman dalam perlawanan akhir selama hampir 10 minit menerusi dua set permainan yang cukup sengit.
Mohd Shahril sebelum ini pernah meraih naib johan peringkat kampung dan sagu hati peringkat DUN Gual Periok.
Tempat kedua dimenangi Mohd Nazri, manakala Mohd Rahim Abd. Rahman meraih tempat ketiga.
Pertandingan itu disertai 16 peserta dalam lapan kumpulan dan dianjurkan seorang penduduk kampung yang mahu dikenali sebagai Paksu Jal, dengan kerjasama sahabat-sahabat beliau dari seluruh negara.

Usaha itu bertujuan menggalakkan golongan muda berkumpul di tempat yang sihat seperti kedai kopi, sekali gus menjauhkan mereka daripada aktiviti tidak sihat serta mempereratkan silaturahim dalam kalangan penduduk kampung.
“Insya-Allah, selepas ini saya cuba berusaha untuk perlawanan seterusnya dalam bentuk liga pula pada 31 Ogos nanti,” kata Paksu Jal ketika ditemui.
Pertandingan tersebut mendapat sambutan menggalakkan masyarakat setempat dan diharapkan dapat diteruskan sebagai acara bulanan bagi menyemarakkan lagi semangat komuniti di kampung itu. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001