BANGI – Kelab Prime Mover, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan telah menganjurkan program Kempen Jelajah Start Awareness From Early (SAFE) From Early Selangor di Sekolah Kebangsaan (SK) Bangi, di sini.
Kempen itu sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya murid mengenai pencegahan penderaan seksual, fizikal, buli dan pengabaian emosi.
Program itu juga menumpukan kepada tiga modul utama, iaitu penderaan seksual kanak-kanak, penderaan fizikal serta buli kanak-kanak dan pengabaian emosi kanak-kanak.
Dalam modul penderaan seksual, peserta diperkenalkan dengan konsep Sentuhan Selamat dan Sentuhan Tidak Selamat serta kaedah mudah diingat Say No, Yell, Run, Tell – yang bertujuan bagi kanak-kanak mengambil tindakan segera apabila berdepan dengan ancaman atau gangguan.
Modul ini juga menerangkan definisi, bentuk penderaan, tanda-tanda mangsa, kesan jangka panjang serta peranan guru dan ibu bapa dalam mencegah perkara sedemikian.
Modul penderaan fizikal dan buli pula menggariskan perbezaan antara disiplin dan penderaan, jenis-jenis buli termasuk buli siber serta teknik untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.
Peserta turut dilatih mengenal pasti situasi berisiko serta mengamalkan langkah-langkah untuk melindungi keselamatan diri.
Isu pengabaian emosi kanak-kanak turut diberi penekanan, merujuk kepada keadaan di mana ibu bapa atau penjaga gagal memberikan perhatian, kasih sayang dan sokongan emosi yang diperlukan.
Bentuk pengabaian ini merangkumi tidak responsif terhadap emosi anak, membiarkan mereka membesar dalam suasana rumah yang tegang dan toksik, serta kegagalan membimbing mereka dalam memahami dan mengawal perasaan dengan cara yang sihat.

Fasilitator turut membincangkan punca pengabaian seperti masalah hubungan keluarga, kesibukan atau keletihan bekerja, tekanan kewangan, gangguan kesihatan mental serta penyalahgunaan bahan terlarang.
Kesedaran mengenai kesan jangka panjang pengabaian emosi dijelaskan, antaranya rasa rendah diri, kesukaran mempercayai orang lain, gangguan tumpuan dan kecenderungan menyalahkan diri sendiri.
Sebagai usaha membantu murid mengatasi tekanan emosi, beberapa strategi dikongsikan termasuk mengingatkan diri bahawa situasi tersebut bukan salah mereka, mencari sokongan daripada individu yang dipercayai, meluahkan perasaan, melibatkan diri dalam aktiviti yang menyeronokkan, dan mengamalkan pemikiran positif.
Pendekatan ini diharapkan dapat membina keyakinan diri, meningkatkan daya tahan emosi, serta memastikan perkembangan mental yang sihat.
Menurut Pengarah Projek, Mohamad Nurhakim, program ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk mendidik generasi muda mengenai hak mereka untuk hidup dalam persekitaran yang selamat dan bebas daripada sebarang bentuk kekerasan, penderaan serta pengabaian.
Pihak sekolah menyambut baik inisiatif ini dan berharap ia dapat memperkukuh pengetahuan murid selain menggalakkan mereka untuk berani bersuara apabila berdepan dengan situasi yang membahayakan. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001