'Ada pendedahan nanti' - Along Cham mahu sahkan lafaz cerai taklik, Afreena enggan tangguh

‘Ada pendedahan nanti’ – Along Cham mahu sahkan lafaz cerai taklik, Afreena enggan tangguh

10/03/2025

PELAWAK Along Cham tiba di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor, sekitar jam 10.20 pagi pada Isnin bagi meneruskan proses pengesahan lafaz cerai taklik terhadap isterinya, Afreena Suhaimi.

Menurut Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin, terdapat satu pendedahan mengenai pelanggaran taklik, namun dia enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu membuka aib rumah tangga kepada umum.

“Hari ini pendedahan langgar taklik, saya harap semuanya selesai.

“Ada pendedahan, tunggu selesai nanti. Sebab dia langgar taklik, saya akan cakap dalam mahkamah nanti.

“Saya tak boleh cerita nanti netizen cakap saya buka aib rumah tangga. Tak payah cerita, terima kasih,” katanya ringkas.

Sementara itu, Afreena Suhaimi yang hadir ke mahkamah sekitar 10:35 pagi turut berharap agar proses pengesahan cerai taklik berjalan lancar.

“Saya harap hari ini berjalan dengan lancar, kalau boleh kita tak mahu tangguh lagi. Perkara ini sudah tertangguh sekian lama. Kita tunggu sebentar lagi keputusan mahkamah.

“Hari ini saya hadir bersama Tuan Iezwan, keluarga, ibu bapa saya dan rakan ibu bapa yang juga saksi pernikahan kami dulu,” katanya.

Dalam pada itu, peguam Iezwan, yang mewakili Afreena, menjelaskan bahawa hari ini merupakan sebutan pertama susulan pemfailan yang dibuat oleh Along Cham.

“Secara asasnya, kita akan sebut dulu di depan hakim untuk mendapatkan kebenaran meneruskan kes.

Kemudian, kita akan tengok arahan mahkamah sama ada perlu memasukkan pembelaan sebagai tuntutan balas atau teruskan dengan perbicaraan. Semuanya bergantung kepada proses mahkamah hari ini,” jelasnya.

Pada 28 Januari lalu Along mengejutkan ramai pihak apabila muncul di Mahkamah Syariah.

Dia kemudian diminta untuk melakukan urusan tersebut di Mahkamah Rendah Syariah Sepang kerana alamat rumahnya dalam daerah berkenaan.

Untuk rekod, Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad, 42, dan Afreena mendirikan rumah tangga pada 4 April 2024.

Perkahwinan tersebut merupakan perkahwinan kedua mereka. – Gempak

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *