KANGAR – Yayasan Bank Rakyat (YBR) telah mengagihkan sumbangan bakul makanan kepada 350 keluarga isi rumah B40 di sekitar Kedah dan Perlis.
Sejumlah RM52,500 diperuntukkan dengan setiap keluarga menerima bantuan sebanyak RM150.
Majlis ringkas penyerahan bantuan itu disempurnakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datin Faizah Ariffin di Majlis Penyampaian Ihsan Madani di Hotel Sri Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Sementara itu, Faizah dalam kenyataannya berkata, bantuan itu difokuskan kepada mereka yang memerlukan terutama keluarga B40, fakir miskin dan ibu tunggal.
YBR, katanya, cakna dengan kekangan yang dihadapi dan berharap bantuan itu menjadi medium dalam membantu keluarga kurang berkemampuan untuk menyediakan keperluan asas harian.

“Kita harap bantuan bakul makanan ini dapat meringankan bebanan keluarga berkenaan, di samping sebagai tambahan daripada bantuan yang telah disalurkan oleh kerajaan.
“Kami di YBR juga sentiasa cuba membantu masyarakat yang memerlukan dan akan terus meluaskan bantuan ini kepada lebih ramai lagi untuk sama-sama merasai manfaat,” katanya.
Pada tahun 2024, YBR telah memperuntukkan hampir RM600,000 bagi pemberian sumbangan kepada mereka yang memerlukan terutama dari kalangan B40. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

