KUALA LUMPUR – Isu talian internet di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang dibangkitkan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 lalu, wajar ditangani, namun tidak sehingga memerlukan menteri bertanggungjawab ditukar.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, Dr. Akmal hanya berseloroh mengenai cadangannya kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar jawatannya digantikan dengan wakil daripada parti itu disebabkan isu berkenaan.
“Dia berseloroh mengenai talian internet di Dewan Merdeka, WTCKL. Dalam kes teknikal seperti ini, tak perlu (sehingga) tukar Menteri Komunikasi.
“Tetapi saya cadangkan beliau berhubung dengan Datuk Seri Irmohizam Ibrahim (Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL) untuk meneliti masalah (internet) dalam bangunan.
“Isunya adalah liputan (internet) dalam bangunan. Berbeza kalau masalahnya di luar,” katanya kepada pemberita selepas program Pentarama dan Kelab Malaysiaku sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai, di sini, hari ini.
Sabtu lalu, Dr. Akmal ketika ucapannya di PAU 2024 mencadangkan kepada Ahmad Zahid agar Menteri Komunikasi digantikan dengan wakil daripada Umno.
Ia respon spontan Dr Muhamad Akmal apabila perwakilan Umno menghadapi kesukaran untuk mengakses aplikasi media sosial melalui telefon pintar masing-masing semasa berada di dalam Dewan Merdeka, WTCKL.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, beliau juga akan berhubung dengan Irmohizam bagi memastikan masalah seperti itu tidak berulang kembali.
“Isunya mungkin (orang) ramai (guna) pada suatu ketika dan masalah yang sama berlaku apabila stadium penuh sebagai contoh. Ini yang perlu kita teliti,” katanya.
Fahmi berkata, sebagai Menteri Komunikasi, beliau bersama-sama pasukannya akan memastikan syarikat telekomunikasi mengatasi masalah 5G dengan baik.
“Malah sehingga hari ini, saya difahamkan kita bukan hanya melepasi sasaran 80 peratus liputan kawasan berpenduduk, tapi dari segi penggunaan juga setakat hujung Julai 2024, saya difahamkan hampir 48 peratus daripada pengguna perkhidmatan telefon mudah alih di Malaysia menggunakan rangkaian 5G. Ini adalah satu pencapaian yang cukup baik,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252