Pandangan atau tanggapan yang Pak Long perolehi semasa sembang-sembang santai, di kedai kopi semasa bersarapan dengan ‘kenalan baru’ memang menarik. Sebenarnya ramai juga yang memilih untuk tidak memberikan apa-apa respons. Ya, kenapa mahu ambil risiko dengan meluahkan perasaan kepada orang yang tidak dikenali? Namun begitu kekadang, ada juga yang sudi memberikan reaksi bila diajukan soalan.
Berikut adalah di antara tanggapan yang menarik; Pak Long boleh kumpulkan tanggapan mereka kepada beberapa kategori. Pertama, keyakinan mereka bahawa orang politik itu semua sama saja. Dalam erti kata lain, mereka semua (orang-orang politik) hanya pandai berjanji. Semalam bila Pak Long bertanya kepada teman semeja’ apakah hujahnya bahawa orang politik itu semua sama saja, dia ulangi: “Depa semua pandai buat janji. Depa semua sama.” Sambil senyum kambing, Pak Long meminta dia memberikan SATU contoh ‘pandai buat janji’ itu. Dia selamba memberitahu Pak Long contoh klasik yang Pak Long selalu dengar. Dia memetik janji semasa pilihan raya bahawa “Jika kami ambilalih kerajaan hari ini, esok harga minyak turun!”
Bagi Pak Long ini bukan sesuatu yang baru walaupun penjelasan demi penjelasan berhubung isu ini telahpun diberikan oleh pihak kerajaan. Kadang-kadang penjelasan yang diberikan dibalas pula dengan selamba, “Kami penat dengar formula!” Mendengar jawapan ini, Pak Long ingin memancing berapa jauh kawan semeja sekedai kopi ini mengikuti penjelasan pihak Gomen. Pak Long mengajukan soalan “Saudara selalu tengok televisyen, dengar radio atau pun baca surat khabar?” Dia menjawab dengan agak keras, “Malas nak dengar berita…” Jawapannya membuat Pak Long tertanya-tanya apakah kenalan ini rajin mengikuti laporan di media sosial atau dia hanya berpandukan apa yang dia dengar di ‘sana sini’.
Kedua tanggapan yang masih wujud dalam kalangan orang ramai ialah ’kepercayaan’ bahawa institusi dan agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mahkamah adalah ‘alat dan perkakas politik’ Kerajaan. Pak Long agak terkejut! “ Ya? Bukankah bukti dengan tindakan sudah ada? PMx pun berjanji tidak akan campur tangan?” Dia menjawab dengan hujah “Pemimpin tak boleh berdendam! Pak Long minta penjelasan lanjut, “Saudara boleh bagi contoh dendam pemimpin?” Dengan pantas saja dia membalas, ” Itu kes-kes mahkamah. Itu kerana dendamlah…” Entah dari siapa dan dari mana kawan ini memperolehi ‘kepercayaan’ bahawa kes-kes mahkamah itu adalah kerana dendam pemimpin dan bukannya kerana iltizam dan kesungguhan memberantas rasuah, tidak Pak Long ketahui.
Akhir sekali, maklum balas yang ini juga menarik untuk dijadikan renungan: Bila Pak Long tanya, “Kenapakah pemimpin negeri ini sangat popular? Dia dianggap seorang pahlawan…” Responsnya agak bersemangat kali ini. ” Dia berani. Pemimpin kena berani bawa isu. Kalau diam, itu bukan pemimpin!“
Kawannya yang selama perbualan kami hanya berdiam diri kelihatannya tidak bersetuju. Dia menambah dengan nada yang sinis. ” Pemimpin itu? Masalah air di Negeri ini pun dia tak boleh selesai!!” Pak Long tidak ingin menokok tambah cuma respons dengan senyuman yang tak menjadi.
Bagi Pak Long, sesi “Sembang di Kedai Kopi” sentiasa menarik. Ia menarik kerana di sana ada petunjuk yang boleh dimanfaatkan. Ia memberi gambaran keberkesanan pihak kerajaan dan juga pihak oposisi dalam menyampaikan mesej dan membina naratif masing-masing. Bagi Pak Long, masyarakat kita secara umum masih tergolong dalam kategori yang tidak begitu rajin merenung. Kita pun tidak dapat menafikan masyarakat sentiasa dipengaruhi permainan emosi. Justeru itu, mereka perlu didekati dengan cara yang lebih berkesan. Kesimpulannya Pak Long berpendapat pihak pembuat dasar mestilah menggunakan bahasa dan hujah yang tidak terlalu teknikal supaya orang biasa pun mudah faham dasar-dasar kerajaan.
Akhir kalam dari Pak Long, sembang-sembang kedai kopi bukan setakat sembang kosong secangkir kopi ‘O’ dengan sebungkus nasi lemak. Ia lebih daripada itu; ia mengungkap dan melerai apa yang tersurat dan tersirat di hati ‘teman-teman semeja’ yang singgah di kedai makan. Perkenalannya mungkin sementara namun kesannya di hati, kekadang lama.
NDSembangdikedaikopiEP2310Jun24