BERITA UTAMA

Kepentingan hak asasi manusia selari dengan konsep Malaysia MADANI – PM

KUALA LUMPUR – Kepentingan hak asasi manusia selari dengan apa yang dibawa dalam konsep Malaysia MADANI, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Anwar berkata perkara itu dibangkitkan semasa pertemuan beliau dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hak Asasi Manusia Volker Turk di Parlimen hari ini.

“Sebuah negara perlu ada wawasan bertunjangkan nilai asas yang diperlukan di dalam masyarakat harmoni, berkembang maju dan aman tanpa melupakan konsep ihsan serta hak asasi manusia,” katanya.

Perdana Menteri berkata lawatan Volker dan delegasinya ke Malaysia adalah atas jemputan kerajaan.

Beliau berkata ia sebahagian daripada usaha berterusan Malaysia memupuk kerjasama dengan PBB bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai hak asasi manusia untuk dinikmati bersama oleh seluruh rakyat.

Menerusi hantaran berasingan, Anwar berkata beliau turut menerima kunjungan hormat daripada Menteri Negara bagi Perdagangan Luar Emiriah Arab Bersatu Dr Thani Ahmed Al-Zeyoudi.

Antara perkara yang dibincang pada pertemuan itu, yang turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, ialah kerjasama dua hala kedua-dua negara dalam bidang ekonomi.

“Alhamdulillah, banyak kerjasama yang telah diusahakan antara agensi dan juga syarikat kedua-dua negara sebelum ini dan juga yang dirancang pada masa hadapan,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata komitmen lebih padu dan erat dijangka dapat diteroka menerusi kerjasama ekonomi lebih mendalam khususnya melalui Perjanjian Perkongsian Ekonomi Yang Komprehensif (CEPA) yang sedang dirundingkan.

Tengku Zafrul pula berkata kedua-dua negara mengesahkan komitmen untuk menandatangani perjanjian itu menjelang tahun ini.

Sebagai perjanjian perdagangan bebas pertama Malaysia dengan anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC), ia dijangka membuka jalan ke arah kerjasama ekonomi lebih mendalam dan memupuk persekitaran kondusif untuk peningkatan aliran perdagangan serta pelaburan bukan sahaja antara kedua-dua negara tetapi juga ASEAN dan rantau GCC secara amnya. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *