BERITA UTAMA
Jurulatih badminton era 70-an Lee Guan Chong meninggal dunia

Jurulatih badminton era 70-an Lee Guan Chong meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Bekas jurulatih skuad badminton beregu lelaki kebangsaan Lee Guan Chong meninggal dunia di Hospital Pantai, Bangsar di sini pagi semalam.

Anak mendiang Eric Lee ketika dihubungi Bernama berkata ayahnya menghembuskan nafas terakhir pada 7.52 pagi akibat sakit tua pada usia 87 tahun.

Menurutnya mendiang aktif sebagai jurulatih badminton di Royal Lake Club dan Bukit Kiara di sini sebelum bersara pada 2017.

Eric berkata upacara penghormatan terakhir akan diadakan hari ini dan Khamis sebelum upacara pembakaran jasad mendiang dijalankan pada Jumaat di PJCCA Gui Yuan Crematorium, Petaling Jaya.

Guan Chong merupakan jurulatih skuad beregu lelaki kebangsaan untuk Piala Thomas 1975 dan 1976.

Pada 1976, skuad negara memperoleh pingat perak selepas tewas kepada Indonesia 9-0 pada aksi final.

Dalam pada itu bekas pemain negara Datuk James Selvaraj yang juga anak didik Guan Chong berkata pemergian mendiang merupakan satu kehilangan besar buat arena sukan tanah air.

Menurutnya Guan Chong merupakan seorang jurulatih yang tegas namun banyak mencurahkan ilmu kepada pasukan kebangsaan bagi berentap pada Piala Thomas edisi 1975 dan 1976.

“Jurulatih Guan Chong membimbing skuad beregu lelaki negara pada 1975 dan 1976 dan pada ketika itu saya beraksi bersama Moo Foot Lian dan satu lagi gandingan, Dominic Soong-Cheah Hong Chong.

“Beliau sangat tegas untuk memastikan kami dapat keputusan baik, tetapi beliau sangat ramah dengan pemain ketika itu,” katanya. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *