BERITA UTAMA
MOT diarah siasat dakwaan kontena syarikat kapal Israel di Iskandar Puteri

MOT diarah siasat dakwaan kontena syarikat kapal Israel di Iskandar Puteri – Zahid

JOHOR BAHRU – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Kementerian Pengangkutan membantu siasatan mengenai dakwaan kewujudan kontena syarikat perkapalan di Israel, ZIM, di sebuah Pelabuhan di Iskandar Puteri, di sini.

Beliau berkata, siasatan itu penting supaya tiada lagi insiden sedemikian berlaku di mana-mana pelabuhan di negara ini.

Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat yang mempunyai kaitan secara langsung dengan Israel.

“Kita tidak ada hubungan diplomatik termasuk hubungan perdagangan secara langsung dengan Israel.

“Isu yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negerk Johor itu (isu kontena Israel) amat dekat kepada rakyat Malaysia keseluruhannya, saya tidak fikir kita boleh berkompromi dalam hal ini.

“Saya harap Kementerian Pengangkutan dapat melakukan pemantauan terhadap perkara ini supaya tidak berlaku lagi termasuk kapal Israel berlabuh di mana-mana pelabuhan kita,” katanya dipetik Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Halal On Track 2024@Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (PERSADA) Johor Bahru, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Ahad lalu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dilaporkan mengarahkan siasatan segera dilakukan terhadap kewujudan kontena syarikat perkapalan negara terbabit.

Beliau dilaporkan berkata, jika ada barangan Israel di mana-mana pelabuhan di Malaysia dengan menggunakan pihak ketiga, maka perkara itu harus dipantau pihak berkuasa.

Sabtu lalu, media melaporkan kewujudan kontena dari Israel itu menimbulkan tanda tanya dan keresahan dalam kalangan penduduk sekitar.

ADUN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad dilaporkan berkata, beliau terkejut apabila menerima aduan penduduk prihatin yang mendakwa pelabuhan berkenaan masih menerima masuk kontena yang dibawa dari Israel.

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *