BERITA UTAMA
Kerjaya peguam untuk lepasan SPM

Kerjaya peguam untuk lepasan SPM

Dr. Zulqarnain Lukman

LALUAN untuk menjadi peguam ini hanya satu sahaja iaitu dengan mendapat ijazah LL.B (Hons) atau apa-apa Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (kepujian) yang setara. Lain universiti lain nama ijazah tersebut. Jika hanya mendapat diploma anda tidak layak untuk menjadi peguam.

Bagaimanakah untuk mendapat ijazah LL.B itu? Sekurang-kurangnya ada tiga laluan. Laluan pertama adalah dengan melalui matrikulasi, kedua melalui STPM dan ketiga melalui diploma. Maksudnya tiada laluan yang membolehkan anda terus mendapat ijazah.

Bagi lulusan SPM, program asasi adalah laluan untuk mendapat ijazah LL.B ini. Jurusan undang-undang dikategorikan sebagai jurusan sains sosial. Syarat kemasukan untuk masuk ke jurusan ini lebih longgar berbanding dengan jurusan sains tulen yang memerlukan gred A bagi subjek Kimia, Fizik dan Biologi.

Lazimnya bagi asasi sains sosial ini anda hanya perlukan gred B sahaja dalam subjek Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Matematik.

Universiti manakah yang menawarkan ijazah LL.B ini? Untuk tujuan ini adalah digalakkan untuk menyemak senarai universiti itu dengan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia.

Senarai ini selalu berubah-ubah dengan penambahan universiti. Boleh klik link di bawah untuk melihat senarai universiti yang diiktiraf.

https://lpqb.org.my/index.php?option=com_content…

Secara umumnya digalakkan untuk mengambil ijazah di dalam negara ini berbanding di luar negara kerana jika dibuat di dalam negara maka anda tidak perlu lagi mengambil peperiksaan CLP. CLP adalah peperiksaan khusus untuk melayakkan seseorang itu memulakan proses chambering. Ada yang mengambil peperiksaan CLP sebanyak tiga kali dan gagal semuanya dan akhirnya terkubur cita-cita untuk menjadi peguam.

Apakah itu pula chambering? Chambering atau latihan dalam kamar ini adalah proses latihan di firma guaman selama sembilan bulan. Dalam proses ini seorang graduan undang-undang akan memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi bagi memulakan proses chambering itu.

Jika anda di Sabah dan Sarawak proses chambering akan menjadi lebih panjang. Jika tidak silap ianya 12 bulan. Selepas mendapat ijazah LL.B anda perlu menjalani proses chambering ini. Proses chambering ini adalah seperti proses intern dan tidaklah membebankan sebagaimana seorang graduan perubatan yang menjalani housemanship.

Apakah prospek menjadi peguam? Tidak dinafikan ramai orang melihat kerjaya peguam ini sebagai satu tiket untuk menjadi kaya, terkenal dan berpengaruh. Hakikatnya kerjaya peguam ini sama seperti kerjaya lain. Jika anda ingin menjadi jutawan maka tidak ramai yang menjadi jutawan dengan kerjaya peguam. Jika ada pun biasanya mereka akan terlibat dengan bisnes lain, selain mempunyai kerjaya peguam.

Jika anda ingin terkenal, maka menjadi peguam lebih mudah untuk menjadi terkenal berbanding dengan kerjaya peguam. Caranya adalah mudah terutama jika anda mengendalikan kes yang berprofil tinggi.

Siapa tidak kenal peguam Tan Sri Shafee Abdullah yang mengendalikan kes Datuk Seri Najib Razak. Siapa tidak kenal dengan Sankara Nair yang mengendalikan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim pada suatu masa dahulu. Siapa tidak kenal peguam Teh Poh Teik yang mengendalikan kes Tan Sri Mahiadin Yasin.

Ini kerana jika anda mengendalikan kes berprofil tinggi, maka anda akan mendapat liputan media yang meluas. Namun, sekarang ini dengan kemunculan TikTok ramai peguam muda menjadi terkenal dengan hanya membuat TikTok konten berkaitan perundangan.

Menjadi peguam ini memudahkan laluan anda untuk menjadi kaya jika anda pandai mengambil peluang. Jika anda menjadi peguam dan bekerja di bawah peguam lain sebagai legal assistant maka peluang anda untuk menjadi jutawan itu lebih kecil. Pastinya bos anda akan terlebih dahulu menjadi jutawan sebelum anda menjadi jutawan.

Selain itu, sedikit kelebihan menjadi peguam adalah anda lebih pandai membaca akta dan enakmen berbanding dengan orang biasa. Anda lebih faham prosedur dan cakap anda itu laku untuk dijual. Ramai orang yang suka mendapat nasihat percuma berkaitan undang-undang.

Jika anda pandai menjual nasihat itu maka itulah harga yang akan anda perolehi. Mungkin nasihat anda selama 15 minit itu bernilai RM100 dan mungkin nasihat anda dalam tempoh yang sama bernilai RM10,000. Itu semua bergantung kepada kemahiran anda menjual nasihat anda.

Adakah peguam ini satu ‘sunset industry’? Kerjaya peguam ini tidak pernah menjadi sunset. Kerjaya ini sudah wujud beratus tahun yang lalu. Bahkan perihal kerjaya peguam ini sudah direkodkan oleh Shakespeare. Anekdot Shakespeare yang terkenal adalah “Let’s kill all the lawyers”.

Anekdot itu menunjukkan betapa bencinya beliau dengan kerjaya peguam atas pelbagai sebab antaranya dia menganggap lawyer ini sebagai penghisap darah kerana meminta upah yang tinggi.

Namun, barang diingat juga, kerjaya lawyer akan menjadi sunset jika anda menjadi peguam dalam bidang yang tidak mempunyai daya penarik. Contohnya, jika anda menjadi peguam sudah ramai berkecimpung di dalamnya seperti peguam bank.

Peluang anda untuk bersaing dengan firma yang sudah established sangat sukar jika anda baru bertatih. Jadi jika anda menjadi peguam yang baharu mungkin anda perlu meneroka bidang kepeguaman dalam undang-undang yang masih belum mempunyai ramai pakar seperti peguam dalam bidang AI dan cybersecurity.

Berapakah gaji permulaan sebagai peguam? Gaji permulaan ini bergantung kepada tempat di mana anda beramal. Jika anda beramal di bandar kecil seperti Besut atau Setiu mungkin kadar gaji permulaan itu hanya melepasi kadar gaji minima RM2000. Tetapi jika anda beramal di bandar besar seperti Kuala Lumpur mungkin gaji permulaan itu boleh mencapai RM3,000 hingga RM4,000.

Apakah menjadi peguam ini anda lebih bebas? Kenyataan ini ada benarnya kerana kos untuk membuat firma sendiri adalah sangat minima. Anda hanya perlukan satu alamat perniagaan. Alamat rumah kediaman anda pun boleh menjadi alamat perniagaan. Anda juga perlukan satu laptop dan printer serta line internet.

Cuma, kos untuk mendapatkan lesen peguam itu agak besar. Mungkin mencecah RM3,000 hingga RM5,000 kerana ada bayaran yang perlu dibayar kepada Majlis Peguam, Jawatankuasa Peguam Negeri dan bayaran indemniti (insurans) profesional.

Ini belum lagi termasuk kos untuk set up sistem gaji pekerja, audit tahunan dan lain-lain. Oleh itu, mungkin kos untuk berkaitan lesen ini sahaja perlu peruntukan lebih kurang RM10,000 setahun atau RM800 hingga RM900 sebulan.

Tidak dinafikan kerjaya peguam ini lebih bebas daripada profesion lain. Jika anda meletakkan nilai yang tinggi kepada kebebasan khasnya kebebasan untuk bersuara, bercakap dan menulis maka kerjaya peguam adalah sesuai untuk anda.

Jika anda menjadi calon pilihan raya anda tidak perlu meletakkan jawatan seperti jika anda bekerja dengan kerajaan. Anda juga bebas untuk bersuara dan menulis kerana anda tidak terikat dengan mana-mana peraturan am. Selagi kata-kata anda itu tidak bersifat hasutan atau memfitnah maka anda bebas bercakap.

Jika anda seorang wanita dan berhajat untuk berkahwin dan menjaga anak sendiri tetapi ingin bekerjaya maka kerjaya peguam boleh dipertimbangkan. Ini kerana masa kerja peguam ini adalah agak anjal terutama jika anda membuka firma sendiri.

Statistik 2023 menunjukkan terdapat 21,570 peguam di Semenanjung Malaysia dengan peguam yang beramal di bawah tujuh tahun hanyalah seramai 7,213 orang. Jumlah peguam lelaki pula adalah 9,508 dan peguam wanita 12,062. Ini bermakna lebih ramai peguam wanita daripada peguam lelaki. Statistik ini juga menunjukkan masih ada ruang luas untuk menceburi bidang kepeguaman.

Setiap orang di Malaysia pastinya memerlukan khidmat guaman sama ada untuk membeli rumah atau berkaitan aduan atau komersial. Malaysia kini mempunyai 33.5 juta penduduk dan jumlah peguam di Semenanjung ini tidak sampai pun 0.001 peratus daripada jumlah populasi penduduk.

Akhir sekali yang ingin disebutkan adalah bukan semua graduan undang-undang memilih untuk menjadi peguam. Bak kata Almarhum Tan Sri Harun Hashim, mantan Hakim Persekutuan menyatakan sebagai graduan undang-undang anda boleh menjadi penyanyi seperti Sudirman atau boleh berniaga seperti Tun Daim Zainuddin atau boleh menjadi Menteri seperti Tan Sri Hamid Albar.

Anda hanya tidak boleh menjadi doktor perubatan atau jurutera kerana bidang itu ada kawalan akta sendiri. Ramai juga graduan undang-undang memilih untuk menjadi penjawat awam dan lazimnya graduan undang-undang ini mempunyai peluang kenaikan pangkat yang lebih cepat berbanding dengan ijazah lain.

Namun, jika anda graduan undang-undang anda akan lebih faham bagaimana sesuatu organisasi yang anda sertai itu berfungsi. Ini kerana boleh dikatakan setiap bidang di Malaysia ini mempunyai akta dan kawalan perundangan.

Contohnya, jika anda menjadi penyanyi maka anda perlu faham undang-undang berkaitan royalti lagu dan hakcipta. Anda akan lebih mudah masuk sesuatu profesion yang anda faham kerangka undang-undang itu supaya anda lebih tahu apa hak dan apa yang tidak menjadi hak anda. – NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *