BERITA UTAMA

KPN sahkan suspek anggota JI serang, bunuh anggota polis

JOHOR BAHRU – Serangan di Balai Polis Ulu Tiram, dekat sini, awal pagi tadi disahkan dilakukan anggota kumpulan Jemaah Islamiyah (JI).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, suspek yang dipercayai berusia 34 tahun itu ditembak mati di lokasi kejadian.

Katanya, susulan itu polis menyerbu kediaman keluarga suspek di Ulu Tiram, pagi tadi.

“Rumah suspek turut mempunyai beberapa info berkenaan kumpulan JI, selain banyak ayat al-Quran yang ditampal di dinding.

“Susulan itu, semua lima ahli keluarga suspek berusia antara 15 hingga 62 tahun yang dipercayai anggota JI ditahan bagi siasatan lanjut.

“Bapa suspek berusia 62 tahun turut dikenal pasti sebagai anggota JI,” katanya pada sidang media di pekarangan Balai Polis Ulu Tiram, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar.

Susulan itu, Razarudin mengarahkan polis mengenal pasti anggota JI di negeri itu bagi siasatan lanjut.

Katanya, seramai 20 anggota JI sudah dikenal pasti dan tindakan susulan sedang segera dilakukan.

“Kita sedang siasat motif serangan dan apa agenda JI sebenarnya,” katanya.

Dalam serangan jam 2.54 pagi itu, dua anggota polis terbunuh, manakala seorang lagi cedera, manakala suspek yang bertopeng, berpakaian gelap dan bersenjatakan parang ketika menceroboh masuk balai polis berkenaan, ditembak mati di lokasi.

Dua anggota polis dan suspek yang maut dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala anggota yang mengalami kecederaan dirawat di hospital sama.

Difahamkan, suspek terlebih dahulu menyerang dua anggota polis bertugas dan merampas dua laras senjata.

Dia kemudian melepaskan dua das tembakan ke arah anggota polis menyebabkan kecederaan pada bahu serta perut dan seorang lagi ditetak pada belakang leher dan kepala. – NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *