LAHAD DATU – Enam dikhuatiri lemas, dua cedera, manakala sembilan lagi selamat dalam kejadian kepala air di Lembah Maksina, Makuau di sini, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.28 malam.
“Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu telah menerima panggilan kecemasan pada jam 8.28 malam melalui sistem 999 melibatkan sekumpulan hikers yang terperangkap di Sungai Maksina akibat banjir kilat ataupun kepala air.
“Seramai 11 anggota bomba termasuk ketua balai bergegas ke lokasi yang terletak sejauh 56 kilometer dari balai untuk mendapatkan maklumat lanjut.
“Setibanya pasukan di lokasi, kita dimaklumkan terdapat 17 peserta yang terlibat dalam aktiviti river trekking di Lembah Maksina,” kata beliau.
Menurut Sumsoa, tindakan awal bomba berjaya membawa keluar sembilan peserta dalam keadaan selamat pada jam 12 tengah malam.
Beliau turut memaklumkan, operasi penyelamatan telah ditangguhkan pada jam 1.40 pagi akibat cuaca gelap dan keadaan tidak mengizinkan atas faktor keselamatan serta operasi disambung seawal jam 6 pagi ini.
Maklumat awal bomba mendapati sekumpulan 17 orang telah melakukan aktiviti river trekking sebelum terjadi banjir dan kepala air yang menyebabkan mereka terperangkap. – Awani
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252