BERITA UTAMA

Bunuh, tikam teman wanita: Hukuman mati bekas pengurus diganti penjara, sebatan

PUTRAJAYA – Bekas pengurus syarikat binaan dan perkhidmatan terlepas tali gantung selepas Mahkamah Rayuan hari ini menggantikan hukuman mati itu kepada penjara 30 tahun dan 12 sebatan kerana membunuh teman wanitanya warga Indonesia dengan 28 tikaman, enam tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail dalam keputusan sebulat suara mengekalkan sabitan terhadap Sobri Abdul Wahab, 46, bagi kesalahan itu dan memutuskan rayuan perayu tidak mempunyai merit.

“Hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam mensabitkan kesalahan terhadap perayu (Sobri). Mahkamah juga mendapati ketidakwarasan perayu ketika kejadian tidak dapat dibuktikan dan oleh itu, sabitan adalah selamat dan dikekalkan,” kata Hakim Hadhariah yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin.

Bagaimanapun, Hakim Hadhariah mengetepikan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 31 Disember 2021 dan menggantikan kepada hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan serta memerintahkan perayu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 10 Mac 2018.

Berikutan pindaan ke atas Seksyen 302 Kanun Keseksaan, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun ke atas pesalah jika tidak dijatuhkan hukuman mati.

Pesalah lelaki juga hendaklah dihukum sebat tidak kurang daripada 12 sebatan.

Sobri didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 2021 kerana membunuh pembantu kantin sekolah, Gusnima, 38, di sebuah pangsapuri di Seksyen U8, Bukit Jelutong di sini antara jam 6 petang hingga 8 malam 10 Mac 2018, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Terdahulu, peguam K.A Ramu yang mewakili Sobri berkata, anak guamnya itu tidak waras dan tidak mengambil ubat ketika kejadian, namun Timbalan Pendakwa Raya, Ng Siew Wee membantah bahawa lelaki itu tidak waras apabila bertindak membunuh kekasihnya itu.

“Ketika kejadian perayu berkelakuan biasa dan waras,” kata Ng.

Dalam prosiding itu, perayu turut diwakili peguam Khairul Naim Rafidi dan Farida Mohammad.

Media sebelum ini melaporkan Gusnima yang berasal dari Medan, Indonesia dan bekerja sebagai pembantu kantin sekolah, ditemukan maut dengan 28 kesan tikaman di dapur rumah sewanya di Bukit Jelutong di sini. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *