GUA MUSANG – Polis Kelantan menahan seorang ustaz di sebuah pusat tahfiz berikutan laporan dibuat mengenainya yang disyaki melakukan amang seksual terhadap tiga pelajarnya.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya tidak menolak akan ada lagi laporan sama dibuat mangsa terhadap suspek berusia 39 tahun, yang dikatakan melakukan perbuatan itu sejak dua tahun lalu.
Katanya, dari enam laporan diterima itu, tiga masing-masing di Machang dan Bachok.
“Banyak perkara yang kita nak lihat dan setakat ini pada peringkat awal hanya satu laporan, kemudian menjadi tiga laporan dibuat dan akhir-akhir ini ada lagi laporan akan dibuat.
“Ia membabitkan tiga di Bachok, di mana suspek sebelum ini bertugas di sana sebelum berpindah ke Machang dan perbuatan jenayah berkenaan disyaki bermula sejak 2022 hingga bulan ini,” katanya ditemui selepas Sambutan Hari Raya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, di sini, semalam.
Mengulas lanjut Muhamad Zaki berkata, pihaknya sudah mengarahkan Ketua Polis Daerah dan juga Ketua Balai bagi memantau segala aktiviti pengajian agama yang dibuat di madrasah atau pondok kawasan masing-masing.
“Jika ia di bawah Majlis Agama Islama Kelantan (MAIK) saya rasa tidak ada masalah sebab dipantau, tetapi yang perlu diberi perhatian ialah madrasah atau pusat tahfiz diuruskan secara persendirian atau masyarakat tempatan,” katanya.
Terdahulu media melaporkan seorang guru sebuah pusat tahfiz di sini, ditahan kerana disyaki meliwat tiga pelajarnya sejak dua tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Ahmad Shafiki Hussin dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan daripada tiga mangsa berusia 12 hingga 13 tahun pada 15 April lalu. – Nasionaldaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252