BERITA UTAMA

EPISOD 17: Bagaimana seorang peminat nikmati novel “Sangeetha” karya Azizi Hj Abdullah

Seorang kawan penyair pernah meminta Pak Long tulis sesuatu tentang “Azizi Abdullah yang saudara kenali”, satu permintaan yang memang agak mencabar; bayangkan Pak Long dengan kail hanya sejengkal mahu menduga laut yang sedemikian dalam. Menulis sesuatu tentang karya (Allahyarham) Azizi Abdullah – seorang sasterawan yang tersohor memang terasa gayat. Namun untuk tidak menghampakan harapan seorang kawan, Pak Long memilih untuk melihat Azizi sebagai seorang peminat novelnya dan juga sebagai seorang kawan yang pernah saksikan satu dua aspek proses kreatifnya.

Di sini Pak Long ingin ceritakan mengenai novel “Sangeetha” dari kaca mata seorang pembaca biasa. Bukan sebagai seorang pengkaji. Pak Long masih ingat lagi gurauan teman Paksi (Seniman Paksi Rakyat) bila Pak Long sebut novel itu kepadanya. “Ha. Itu novel kisah cinta orang tua bangka”. Dan Azizi pernah menulis perihal dia “bergelut mempertembungkan dua perasaan tua, mempertemukan dua budaya dalam proses kreatif novel “Sangeetha” – novel yang serius menerokai kesepian jiwa dua orang tua; seorang lelaki Melayu bernama Derus yang digaji untuk mengurus dan menjadi pemandu tuannya, Sangeetha janda keturunan India. Kesepian jiwa Derus dan Sangeetha inilah yang dijadikan tema oleh Azizi.

Pengucapan dan luahan perasaan dua insan tua, kesepian dirundung cinta kasih yang tak pernah diucapkan langsung, namun geloranya yang menggila, menguras dan menggerogot jiwa itu, mereka  luahkan melalui muzik – Derus melalui biola, sementara Sangeetha pula lewat tabla. Dan dorongan birahi cintanya, sesekali membuat Derus berhalusinasi dan berkhayal tentang hubungan intim bersama Sangeetha – hubungan yang tak pernah kesampaian. Aspek sepi-rindu-dahaga-dan-kemarau-batin dua orang tua berlainan bangsa, budaya dan agama diangkatnya oleh Azizi dengan bersungguh-sungguh. Satu contoh ‘pertembungan perasaan’ ini dapat dilihat di halaman 514 novel Sangeetha:

“Derus seperti mahu berkata pada Meena bahawa dia dengan Sangeetha sudah lama bertembung perasaan. Mereka seperti berkuah sama menghirup, bersambal sama mencolek. Mereka memang sama berlompat sama jatuh, menyorok sama membongkok sejak Virala mati. Maka apa pun dia tidak perlu berlindung di balik telunjuk dan berlindung di atas tiris.”

Kesungguhannya menjiwai pengaruh muzik dalam menggambarkan gelojak batin watak-wataknya iaitu Sangeetha (tabla) dan Derus (biola) memang terserlah. Bukannya Azizi tidak pernah melihat bagaimana asyiknya biolanis menggesek biola, tetapi kelihatannya ada sesuatu yang tersirat dan lebih mendalam yang ingin dicari oleh Azizi dalam menulis novel itu. Untuk mencapai tujuan itu, satu ketika dia telah mengajak Pak Long menemaninya ke Johor untuk menemui sebuah kumpulan muzik ghazal di sana. Tidak ada apa yang luar biasa berlaku semasa lawatan itu kecuali perbualan biasa, selain menonton sang pemain biola beraksi. Mungkin ada sesuatu yang mahu diamati dan dihayati semula oleh Azizi. Mungkin. Bagi Pak Long begitulah seriusnya Azizi dalam menghasilkan “Sangeetha”.

Bagi Pak Long proses dan hasil karyanya memperlihatkan bahawa Azizi banyak merenung dan kerap mengakhiri garapannya dengan kejutan – biasanya tragis. Ada yang berpandangan inilah gaya atau cop karya-karya Azizi. Lihat saja bagaimana kesudahan novel Sangeetha. Siapakah yang sedang terlantar sakit dan siapa pula yang pergi terlebih dulu? Derus atau pun Sangeetha. Soalan siapa yang pergi dulu pernah dia tanyakan kepada Pak Long. Rasanya ketika itu arwah sedang merangka, meneliti dan memilih alur cerita manakah yang terbaik. Bila dikenang semula rasa terkilan benar Pak Long kerana tidak benar-benar belajar proses kreatifnya secara lebih intensif dan menyeluruh.

Dari satu dua pengalaman melihat gelagat Azizi menulis “Sangeetha”, Pak Long dapat mengira-ngira, menebak dan menanggapi proses kreatifnya. Tidak dapat bercerita panjang secara fakta tentang proses kreatifnya kerana Pak Long tidak menyoal beliau dengan lebih lanjut atau terperinci bagaimana beliau berkarya. Dari pengamatan Pak Long, antara perkara yang dilakukan beliau semasa berkarya ialah solat malam memohon doa. Tidak pula bertanya lebih lanjut berhubung amalan ini, kecuali sedikit terkedu tatkala mendengarnya. Sampai saat ini, Pak Long masih terbayang keakraban hubungan proses kreatifnya itu dengan Maha Pencipta.

Memang bertuah mengenali dia dan kami menjadi agak rapat. Pak Long selesa berada di sampingnya. Sekarang ini setiap kali melewati Pekan Kulim, Pak Long akan teringat kepadanya. Dia bukan saja seorang sasterawan besar berjiwa besar, dia juga seorang sahabat yang sentiasa merendah diri dan jujur dalam persahabatan.

Para sasterawan kita wajar menulis pelbagai pengalaman kreatif masing-masing dan segala pengalaman yang dirakamkan ini diperkatakan dengan serius. Sayangkan segala karya yang bermutu seperti tidak pernah dipedulikan. (Kelihatannya institusi dan media kita masih lagi belum kenyang dengan hiburan, bola sepak dan gelagat para artis).

Tidak dapat dinafikan ilmu dan pengalaman proses kreatif mereka yang ahli berguna sebagai bimbingan dan rujukan kepada para penulis baru. Sesungguhnya ilmu dan pengalaman yang ada sewajarnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh generasi penulis pelapis. Di samping itu alangkah bagusnya jika diwujudkan program ‘sasterawan sangkut’ atau mentor-mentee (seperti yang diamalkan dalam bidang kejuruteraan) supaya segala ilmu, pengalaman para sasterawan berpengalaman dapat diperturunkan kepada generasi baru dengan lebih cepat, berkesan dan hands-on.

Akhir sekali, seperti kota Roma yang tidak dibina dalam masa sehari, para sasterawan ternama@kawakan juga tidak lahir dalam sekelip mata. Dan ghalibnya karya kreatif yang bermutu tinggi sehingga mencapai taraf dunia lahir dari rahim kreatif para sasterawan mapan. Bagi Pak Long salah seorang sasterawan besar yang pernah lahir di negara ini adalah arwah Azizi Hj Abdullah. Mari kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah buat arwah dan semua sasterawan yang telah pergi meninggalkan kita.

Galah buluh bendulnya titi

Buluh galah merimbun perigi

Patah tumbuh hilang berganti

Manakan sama yang sudah pergi

ND episod 17 Bagaimana peminat menikmati novel “Sangeetha” karya Azizi Hj Abdullah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *