BERITA UTAMA

Keciciran modal insan di kalangan umat Islam hari ini

Oleh Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar

SERING kali ramai menyalahkan Islam apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak baik. Mereka mendakwa Islam menindas dan menghalang pembangunan. Ada juga yang mengaitkan Islam dengan terorisme dan keganasan. Malah ada yang mengatakan sekiranya kita mengamalkan Islam, maka kita tidak akan maju dan mengecapi kejayaan.

Tanggapan sebegini sebenarnya hasil daripada mereka yang gagal melihat keindahan Islam kerana orang Islam yang tidak mengamalkan agama Islam sebagai sebuah tata kehidupan. Model atau ikon yang mereka perolehi bukanlah dari kalangan orang Islam.

Sebagai sebuah tatacara yang mengawal kehidupan seharian, Islam menggariskan panduan yang lengkap, sistematik dan tersusun supaya kehidupan manusia tidak tersasar dari matlamat mencari keredaan Allah serta ibadah kepada Pencipta. Islam amat menekankan pembangunan modal insan yang berasaskan kepada ciri-ciri pembinaan sahsiah dan keperibadian Muslim. Ini kerana manusia adalah sebaik-baik ciptaan Allah dan merupakan khalifah yang diberi kelebihan dan kekuatan ilmu.

Keunggulan keperibadian manusia hendaklah disulami dengan akhlak yang mulia, ilmu pengetahuan yang berpaksikan kepada keesaan Allah dan ketaqwaan kepada-Nya. Inilah sebabnya Islam mengambil berat peranan moral atau akhlak dalam pembentukan sahsiah diri. Hatta di dalam soal perbezaan pendapat pun Islam telah menggariskan adab-adab yang perlu diikuti.

Namun, apa yang menyedihkan sekarang ini, kita melihat umat Islam tidak menjadi contoh kepada orang lain. Umat Islam tidak memiliki akhlak yang mulia ataupun menjadi idola kepada orang lain. Lebih dahsyat lagi umat Islam ketinggalan di pelbagai bidang kerana mereka meninggalkan agama dalam kehidupan mereka. Apa sahaja yang dinasabkan kepada Islam dikatakan mundur, ketinggalan zaman dan tidak sesuai.

Natijahnya, kesemua perkara dilihat hanya dari lensa Barat sahaja dan mengenepikan panduan dan syariat yang telah digariskan oleh Islam. Bagi menjadi bangsa yang kuat umat Islam perlu melengkapkan diri mereka dengan keperibadian yang unggul. Ciri keperibadian yang unggul ini pernah diperincikan oleh Hassan Al Banna. Saya pernah menulis di ruangan ini mengenai ciri keperibadian Muslim unggul oleh Hassan Al Banna ini suatu ketika dahulu. Namun saya nukilkan sekali lagi kali ini buat renungan bersama.

Mengikut Hassan Al Banna, terdapat sekurang-kurangnya 10 ciri yang jitu lagi mantap. Kesemua ciri ini saling lengkap melengkapi bagi menonjolkan kecemerlangan sahsiah Islam. Antara ciri tersebut ialah aqidah yang bersih. Ciri ini adalah amat penting kerana ia menjadi teras kepada pembangunan modal insan yang sebenar. Dengan adanya aqidah yang mantap, sudah pasti umat Islam tidak akan tergelincir dari landasan syariat Islam yang betul. Ia juga merupakan suatu piawaian ke arah penyerahan diri sebagaimana yang diikrarkan di dalam solat.

Begitu juga ibadat yang betul akan menjurusus kepada keikhlasan dan pembentukan peribadi yang mulia. Ini menunjukkan sesuatu ibadat itu mestilah bersumberkan “nas” yang betul terdiri dari Al Quran dan Al Sunnah serta sumber-sumber lain yang diterima oleh para ulama. Ibadat dilakukan bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk tetapi merupakan manifestasi pengabdian diri kepada Maha Pencipta.

Akhlak mulia juga merupakan elemen penting pembentukan sahsiah diri. Perilaku ini harus dimiliki oleh setiap muslim kerana akhlak mulia bukan sahaja akan menjaga hubungan antara makhluk tetapi juga hubungan antara makhluk dan Pencipta-nya. Disamping itu pula kekuatan jasmani tidak boleh dikesampingkan. Daya tahan yang kuat sehingga dapat melaksanakan tuntutan agama yang optimal amatlah diberi perhatian dalam Islam. Islam tidak pernah mengasingkan kekuatan fizikal dalam mencari keredaan Allah. Ini amat jelas dilihat kerana beberapa amalan di dalam Islam memerlukan kekuatan fizikal yang mantap seperti solat, puasa dan haji. Kekuatan jasmani juga merupakan pencegahan kepada pelbagai penyakit. Kekuatan jasmani akan menjamin kecerdasan berfikir. Kecerdasan berfikir akan membawa kepada intelektualisme. Seorang intelek merupakan aset kepada masyarakat. Oleh yang demikian seorang Muslim perlu memiliki wawasan yang luas dan kemampuan inteleknya tidak harus diragui oleh orang lain.

Tekad untuk berjuang melawan hawa nafsu juga merupakan suatu kelebihan bagi membentuk peribadi Muslim. Oleh kerana setiap manusia memiliki kecenderungan kepada sesuatu yang baik dan buruk, perlulah suatu semangat untuk melawan hawa nafsu yang buruk. Kesungguhan melawan hawa nafsu ini perlu disemai di dalam diri umat Islam kerana ia akan berupaya melawan pelbagai maksiat dan kemungkaran.

Pandai menjaga waktu pula merupakan faktor yang penting bagi manusia khususnya kepada orang Islam. Umpamanya Islam mengajar perancangan waktu seperti solat di awal waktu. Solat di awal waktu ini perlulah diterjemahkan dalam kehidupan seharian sebagai pengurusan masa yang tepat. Setiap tindakan kita perlulah dirancang mengikut waktu yang sesuai. Kemahiran menjaga waktu akan menghasilkan keteraturan di dalam urusan. Ciri ini memerlukan profesionalisme di dalam sesuatu urusan. Bersungguh-sungguh, bersemangat dan berkorban di dalam melakukan sesuatu urusan akan menjadikan sesuatu perkara itu akan dapat dijayakan dengan cemerlang.

Kejituan diri mempertahankan kebenaran dan berjuang menegakkannya hanya boleh dilakukan sekiranya kita memiliki kemampuan dan kekuasaan dari segi pengetahuan, ekonomi dan sebagainya. Dengan jatidiri ini umat Islam akan bermanfaat kepada orang lain. Ciri ini akan menghakis sikap mementingkan diri sendiri dan sentiasa prihatin kepada orang lain. Seseorang Muslim perlulah berusaha menjadikan dirinya bermanfaat kepada orang lain. Jikapun beliau tidak memegang jawatan tinggi, sekurang-kurangnya kita boleh bermanfaat kepada ahli keluarga dan juga sahabat handai.

Kesemua ciri yang disebutkan di atas merupakan ciri-ciri yang telah digariskan oleh Hassan Al Banna bagi membangunkan modal insan. Walaupun ia diberikan nama baru, namun ulama-ulama terdahulu telahpun membincangkannya dengan panjang lebar sebagaimana olahan yang dibuat oleh Hassan Al Banna di atas.

Sekiranya formula pembangunan modal insan itu digarap dengan mengambil kira ciri-ciri yang telah ditentukan oleh Hassan Al Banna tersebut, sudah pastilah negara akan mencapai kecemerlangan kerana adunan tersebut akan menghasilkan natijah yang amat positif di mana insan yang dibangunkan itu bukan sahaja berguna kepada masyarakat malah menjaga hubungan baik mereka dengan Pencipta. Dengan cara ini akan lahir manusia yang mengejar kebaikan di dunia dan tidak sekali-kali mengabaikan persediaan mereka di akhirat kelak.

Untuk berjaya, umat Islam mesti kembali kepada Islam dan melaksanakannya secara keseluruhan. Jangan berpilih-pilih di dalam mengaplikasikan agama Islam dalam bidang yang disukai sahaja. Kegagalan melaksanakan Islam sepenuhnya akan menyebabkan umat Islam mundur dan tidak menjadi ikutan umat-umat yang lain. – NasionalDaily

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *