TARIKH 14 April 2024 – Iran melancarkan sekurang-kurangnya 12 dron dan peluru berpandu ke arah wilayah haram Israel dalam sebuah operasi yang dikenali sebagai ‘True Promise’ pada jam 4 pagi tadi mengikut waktu Malaysia.
Difahamkan serangan tersebut adalah serangan balas selepas Israel bertindak menyerang pejabat konsulat Iran di Syria dua minggu lalu menyebabkan kematian tujuh anggota IRGC, termasuk dua pegawai tertinggi iaitu Komander Mohammad Reza Zahedi dan timbalannya, Mohammad Hadi Hajriajimi.
Menteri Pertahanan Iran, Mohammad Reza Ashtiani telah memberi amaran kepada mana-mana negara yang membuka laluan udara untuk membenarkan serangan Israel ke atas Iran.
Pasukan Houthi dari Yaman turut melepaskan beberapa dron ke arah Israel selepas melakukan koordinasi dengan Iran. Menurut laporan, dron Houthi akan tiba di Israel serentak dengan dron dan peluru berpandu yang dilancarkan Iran.
Pada masa sama, Jordan telah mengumumkan penutupan ruang udara susulan gangguan terhadap sistem GPS. Beberapa negara jirannya seperti Jordan, Iraq, Kuwait, Syria dan Lubnan turut berdepan dengan gangguan yang sama. Wilayah haram Israel turut bertindak menutup ruang udara bermula jam 6.30 pagi tadi.
Mesir memantau dekat situasi terkini dan akan bertindak berdasarkan keperluan berkaitan dengan ruang udaranya, manakala Syria sudah mula mengeluarkan sistem pertahanan darat ke udara, Pantsir buatan Rusia sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya terdapat serangan daripada tentera Israel.
Pasukan ketenteraan Israel mengeluarkan amaran kepada seluruh penduduk Bukit Golan, Nevatim, Dimona dan Eilat untuk berlindung di kawasan yang selamat sehingga ke masa yang dimaklumkan kelak.
Sekitar jam 6 pagi tadi (waktu Malaysia), beberapa pintasan aktif kelihatan di langit Tel Aviv terhadap serangan yang semakin menghampiri wilayah haram Israel. Kira-kira 100 dron telah dipintas di luar wilayah haram Israel dengan bantuan AS dan United Kingdom (UK).
Pasukan pertahanan udara Jordan melaporkan telah menembak 12 dron Iran yang menuju ke arah Israel. Keadaan akan menjadi lebih genting untuk Jordan kerana Iran awal-awal lagi sudah memberi amaran kepada negara itu sekiranya bertindak menyebelahi Israel.
Hanya sedikit sahaja peluru berpandu yang jatuh ke kawasan haram Israel dan menyebabkan kerosakan kecil di tapak ketenteraan tanpa sebarang kecederaan atau kematian.
Setakat pagi ini, Kanada dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres telah mengeluarkan kenyataan rasmi yang mengutuk keras terhadap Iran yang menyerang Israel, manakala Arab Saudi menggesa serangan dari semua pihak yang terlibat dihentikan dengan segera untuk mengelakkan perang yang lebih besar.
Sementara itu, Hamas telah menghantar draf gencatan senjata kepada pihak pengantara iaitu Mesir dan Qatar. Dalam draf tersebut, Hamas menuntut beberapa perkara antaranya, gencatan senjata kekal dan jaminan pertukaran tawanan bagi kedua-dua belah pihak. – Sumber: Al Jazeera
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!