BERITA UTAMA

Warga Israel Shalom Avitan dikatakan dalam misi bunuh pemimpin geng seteru di Malaysia

KUALA LUMPUR – Warga Israel, Shalom Avitan yang ditahan polis bersama enam pistol serta 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang, Rabu lalu dilaporkan datang ke Malaysia untuk membunuh ketua keluarga kumpulan penjenayah seteru.

Menurut The Times of Israel, berdasarkan laporan berita berbahasa Ibrani, suspek mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah bersaudara Musli Brothers.

Berdasarkan laporan portal berita Mako pula, Avitan dipercayai mempunyai misi untuk membunuh Eran Haya iaitu ketua keluarga daripada kumpulan penjenayah seteru.

“Kedua-dua sindiket terbabit dalam perbalahan ganas selama berbulan-bulan. Menurut Saluran 12, rumah Avitan, di kejiranan mewah Bavli, Tel Aviv, adalah sasaran beberapa bom tangan yang dilemparkan oleh ‘orang’ Haya.

“Insiden itu dilaporkan pada pertengahan Mac, dipercayai sebelum Haya dikatakan memasuki Malaysia,” katanya yang dipetik Berita Harian.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang lelaki warga Israel bersama enam pistol serta 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang di sini, Rabu lalu.

Lelaki berusia 36 tahun itu dikesan masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Mac lalu dengan menggunakan pasport Perancis.

Enam senjata api yang ditemui dalam bilik hotel suspek adalah jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru yang diletakkan dalam beg miliknya.

Razarudin dilaporkan berkata, hasil soal siasat, suspek mendakwa dia datang ke negara ini untuk mencari seorang individu yang juga rakyat negaranya untuk dibunuh kononnya berkaitan isu keluarga, namun polis tidak mempercayai dakwaannya itu.

Pihak polis bagaimanapun masih menjalankan siasatan dan berkemungkinan suspek mempunyai agenda lain datang ke negara ini.

Susulan itu, polis dilaporkan turut menahan tiga warga Malaysia termasuk pasangan suami isteri disyaki membekalkan senjata api kepada lelaki warga Israel yang ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang, di sini.

Pasangan berusia 42 dan 40 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor, semalam.

Razarudin turut dilaporkan berkata, PDRM meningkatkan keselamatan antaranya terhadap Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong berikutan tangkapan itu berlaku ketika peperangan masih berlangsung antara Palestin dan Israel.

Malaysia adalah penyokong setia Palestin dan lantang mengkritik tindakan Israel dalam perang Gaza.

Menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, menempatkan kira-kira 600 pelarian Palestin.

Pada tahun 2018, seorang saintis Palestin ditembak mati di ibu negara ini oleh dua lelaki yang tidak dikenali, yang mana Hamas mendakwa ia dilakukan perkhidmatan perisikan Mossad Israel.

Israel bagaimanapun menafikan tuduhan itu. – NasionalDaily

 

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *