BERITA UTAMA

Video tular diambil di luar konteks, cubaan calar imej – Fadhlina

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, video tular di media sosial berkaitan isu kafir diambil di luar konsensus dan diselewengkan konteks dengan cubaan jahat mahu mencalarkan imej serta kredibiliti beliau.

Fadhlina juga menyifatkan tindakan itu turut berniat mencetuskan kekecohan dalam isu berkaitan 3R dengan memercikkan pemesongan makna ucapan sebenar sehingga beliau ditohmah dengan ujaran kebencian, tuduhan tidak benar dan fitnah, selain diancam keselamatan.

Katanya, peguam beliau kini dalam proses mengumpul bukti menerusi media sosial yang pelbagai termasuk dalam bentuk hantaran, kongsian, komentar dan lain-lain medium.

“Kelihatan banyak pengguna media sosial bertindak di luar kawalan termasuk terlalu melampau dalam bereaksi.

“Saya mohon maaf sekiranya ada mengguris perasaan mana-mana pihak atas kesalahfahaman, keterlanjuran kata dan khilaf yang datang daripada kelemahan diri saya.

“Namun saya tidak kompromi soal fitnah dan tuduhan jahat serta kesengajaan penyelewengan konteks, lebih-lebih lagi ancaman keselamatan terhadap diri saya dan keluarga,” katanya dipetik Berita Harian dalam kenyataan hari ini.

Menjelaskan mengenai video itu, Fadhlina berkata, rakaman tular itu adalah keratan yang diambil dari pertemuan tertutup beliau dengan kumpulan tertentu, yang telah dirakam dan ditularkan dengan tafsiran di luar konteks untuk mencipta polemik dan bersifat fitnah.

“Poster ini disengajakan penghasilannya untuk mencipta polemik bagi mengherotkan makna asal daripada keratan video tular, yang memaparkan saya sedang berucap dengan menyebutkan saya tidak membenarkan anak-anak saya mengungkapkan istilah ‘kafir’ di rumah.

“Dalam rakaman video tersebut, saya menyinggung perihal penyebaran sentimen kebencian, sikap ghuluw (melampau) dan gejala takfiri dalam kalangan segelintir masyarakat sehinggakan menuduh saya dengan tuduhan fitnah, hidup saya tidak berkat kerana saya bekerja untuk orang kafir.

Fadhlina menegaskan, beliau melarang anak-anaknya menyebut istilah kafir kerana ia mempunyai konotasi kebencian terhadap kaum bukan Islam yang sama-sama tinggal di negara ini.

Jelas beliau, isu sebutan kafir atau bukan Islam bukanlah tindakan beliau melarang penggunaan perkataan dalam al-Quran, apatah lagi menafikan istilah yang digunakan di dalam kitab berkenaan.

“Ia adalah suatu isu memilih panggilan bersesuaian dalam kehidupan seharian. Malah, Almarhum Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradawi dan juga Shaykh Prof Dr. Ibrahim al-Hudhud (mantan rektor Universiti Al-Azhar) mengakui panggilan ‘ghayru Muslim’ (bukan Islam) untuk digunakan termasuklah dalam penggunaan panggilan sosial.

“Hakikatnya, langsung tidak timbul isu menghalang penggunaan istilah dalam al-Quran, malah tiada penafian istilah daripada al-Quran sebagaimana didakwa pihak-pihak tertentu.

“Pastinya saya sayangkan agama dan prinsip-prinsip Islam adalah pegangan dalam menjalani kehidupan sehari-hari.

“Jadi, tidak timbul isu saya terseleweng dari agama. Justeru, tuduhan jahat, melampau dan bersifat menghina serta takfiri tidak terlepas daripada radar pemerhatian untuk tindakan lanjut di sisi lunas undang-undang kerana ia jelas melanggar prinsip akhlak dan karamah insaniah,” katanya.

Terdahulu, tular satu video yang memaparkan Fadhlina menolak penggunaan label kafir dan mengharamkan anak-anak beliau menggunakan perkataan tersebut di rumah.

Penyebaran video itu membuatkan Fadhlina menerima pelbagai reaksi negatif daripada netizen sehingga mengancam keselamatan dirinya. – NasionalDaily

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *