BERITA UTAMA

Protes besar di Israel tuntut Netanyahu letak jawatan, bebas tebusan

BAITULMADQIS – Penunjuk perasaan di Israel menyekat jalan utama di Tel Aviv bagi menggesa pembebasan tebusan yang ditahan hamas di Gaza dan mengkritik cara kerajaan Israel mengendalikan perang.

Tindakan itu menyebabkan polis menembak meriam air terhadap penunjuk perasaan yang menyalakan api dan menggunakan lori untuk menghalang kedua-dua laluan lebuh raya.

Di Baitulmaqdis, ratusan orang melakukan bantahan di hadapan rumah Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, menuntut beliau meletak jawatan dan mendesak kerajaan segera menamatkan krisis susulan perang Israel-Palestin.

Sebelum ini, ribuan orang berkumpul bagi mendengar tuntutan keluarga tebusan yang diculik supaya mengadakan perhimpunan besar-besaran di hadapan Parlimen negara itu apabila ia bersidang minggu depan.

Shira Elbag, yang anak perempuannya, Liri berusia 19 tahun diculik, merayu supaya warga Israel memberikan tekanan kepada Netanyahu untuk berundur.

“Masanya sudah tiba untuk keluar dan melawan sikap tidak bertanggungjawab kerajaan Israel, yang tidak mempedulikan hak untuk hidup.

“Saya meminta anda untuk keluar bersama kami ke jalanan bagi membawa suara yang bersatu lagi jelas menuntut kepulangan mereka (tebusan) sekarang!,” katanya.

Sementara itu, penunjuk perasaan anti-kerajaan berkumpul berdekatan bangunan di luar Kementerian Pertahanan dan menyalahkan Netanyahu berhubung nasib tebusan.

Mereka membawa membawa sepanduk tertera wajah Netanyahu dengan teks: ‘Anda adalah bos, Anda yang harus dipersalahkan’.

Polis berkata demonstrasi itu menyalahi undang-undang dan menggelar penunjuk perasaan sebagai ‘perusuh’.

Namun, lebih ramai penduduk israel turun ke jalan bagi menyatakan sokongan kepada keluarga tebusan dengan menyertai penunjuk perasaan anti-kerajaan.

Bekas tebusan, Raz Ben Ami, yang dibebaskan pada November lalu, selepas perjanjian diuruskan oleh Qatar dan Washington, merayu kepada Netanyahu untuk mempercepatkan rundingan bagi membebaskan yang lain.

Dia mengingatkan Netanyahu supaya ‘jangan pulang tanpa perjanjian’, merujuk kepada pertemuannya dengan negara pengantara dan wakil Hamas di Kaherah, Mesir serta Doha, Qatar minggu depan.

Elbag, salah seorang ketua Forum Keluarga Tebusan, yang mewakili beberapa keluarga, berkata beliau bersimpati dengan tebusan yang kini sudah 176 hari berada dalam tahanan.

Dalam perkembangan berkaitan, ribuan penunjuk perasaan pro-Palestin berhimpun di London pada Sabtu dalam tunjuk perasaan terbaharu bagi menuntut gencatan senjata di Gaza dan lebih banyak bantuan disalurkan ke wilayah dilanda perang.

Acara yang dianjurkan oleh Kempen Solidariti Palestin itu bermula di Dataran Russell di pusat bandar sebelum peserta berarak ke Dataran Trafalgar untuk perhimpunan tengah hari.

London menyaksikan banyak protes pro-Palestin berskala besar sejak Israel melancarkan tindak balas ketenteraannya terhadap serangan Hamas pada 7 Oktober lalu, serta demonstrasi balas pro-Israel yang lebih kecil.

Timbalan Asisten Komisioner, Andy Valentine, yang menyelia operasi polis, berkata ia adalah hari yang ‘amat sibuk’, dengan beberapa acara pro-Plestin atau anti-Israel lain berlangsung di seluruh ibu negara.

“Saya jelas dalam amaran saya pada hujung minggu ini bahawa kami tidak akan bertolak ansur dengan sesiapa sahaja yang berniat melakukan jenayah atau menyebabkan sebarang bentuk kekacauan atau tingkah laku anti-sosial,” katanya dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak, awal bulan ini menggesa pegawai penguatkuasa mengambil tindakan lebih tegas terhadap penunjuk perasaan di acara sebegitu, dengan mengatakan suasan kini semakin buruk dengan ugutan, ancaman, dan keganasan. – AFP

 

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *