BERITA UTAMA

Pendaftaran sistem Padu berakhir hari ini

KUALA LUMPUR – Pendaftaran dan kemas kini maklumat dalam sistem Pangkalan Data Utama (Padu) berakhir hari ini.

Orang ramai yang belum mengemaskini maklumat masih boleh berbuat demikian menerusi laman sesawang https://www.padu.gov.my atau di kaunter Padu berdekatan.

Pada 23 Mac lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan berkata, kerajaan tidak bercadang untuk melanjutkan proses pendaftaran serta kemas kini sistem Padu yang akan berakhir hari ini.

Ini kerana menurutnya, kerajaan perlu mematuhi jadual bagi membolehkan pelaksanaan penstrukturan semula subsidi.

“Setakat ini, saya boleh katakan kita tiada rancangan untuk lanjutkan daripada 31 Mac. Perdana Menteri sudah umumkan pada belanjawan lepas, tahun ini kita akan lakukan penstrukturan semula subsidi pukal dan ke arah subsidi bersasar. Jadi kalau saya ada ruang, sudah tentu saya berbesar hati untuk lanjutkan.

“Cuma kalau kita lanjutkan bermakna kita juga menolak pelaksanaan subsidi bersasar ke depan, yang mana setiap satu bulan penangguhan, kerajaan menanggung sekurang-kurangnya RM2 bilion subsidi minyak (petrol) pukal,” katanya yang dipetik Harian Metro sebagai melaporkan.

Sementara itu, dalam kenyataan semalam, Rafizi berkata, jumlah individu yang mengemaskini maklumat Padu meningkat secara mendadak menjelang tarikh akhir pendaftaran hari ini.

Setakat jam 11.59 malam semalam, lebih 9.8 juta rakyat berjaya mengemaskini maklumat mereka di Padu.

“Kadar pendaftaran dan pengemaskinian Padu naik mendadak sejak dua hari lalu, mungkin makin ramai sedar dan risau akan keciciran. Belum terlambat lagi untuk daftar. Layari www.padu.gov.my atau pergi ke kaunter Padu berhampiran kawasan anda,” katanya dalam Facebook, hari ini.

Pada 2 Januari lalu, Padu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pangkalan data berkaitan maklumat asas demografi, pendidikan, pekerjaan, pendapatan, komitmen dan bantuan yang diterima rakyat.

Objektifnya untuk menyediakan pangkalan data utama negara bagi penghasilan analitik berkala dan digitalisasi tanpa ketirisan, menggubal dasar dan proses membuat keputusan yang dipacu data serta mengimbangi kedudukan fiskal menerusi pelaksanaan dasar secara bersasar.

Rafizi sebelum ini dilaporkan berkata, penyasaran semula subsidi nanti akan menggunakan maklumat yang ada dalam sistem PADU.

Dalam pada itu, menerusi Facebook rasmi Padu, Selangor menjadi negeri paling tinggi mengemaskini PADU iaitu sebanyak 1.56 juta diikuti Johor (1.10 juta), Perak (0.98 juta), Sarawak (0.90 juta), Sabah (0.83 juta) dan Kedah (0.76 juta).

Negeri lain ialah Kelantan dengan 0.76 juta, Kuala Lumpur (0.57 juta), Pulau Pinang (0.56 juta), Pahang (0.55 juta), Terengganu (0.46 juta), Negeri Sembilan (0.42 juta), Melaka (0.30 juta), Perlis (0.11 juta), Putrajaya (0.3 juta) dan Labuan (0.2 juta). – NasionalDaily

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *