BERITA UTAMA
KDN beri keutamaan selesai permohonan kewarganegaraan anak tidak sah taraf, anak angkat

Kes warga Israel: Polis akan ambil tindakan terhadap beberapa individu – Saifuddin Nasution

LAHAD DATU – Polis akan mengambil tindakan terhadap beberapa lagi individu yang dikaitkan dengan penahanan seorang lelaki warga Israel bersama enam senjata api di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, polis telah mengenal pasti beberapa nama untuk tindakan mereka.

“Kita berjaya menemukan semua senjata api yang beliau miliki dan tinggal sekarang polis buat pengumuman penangkapan beberapa lagi yang terlibat… akan ada lagi pemantauan polis selepas hasil soal siasat itu mendapati ada lagi individu yang disyaki terlibat.

“Jadi pada peringkat sekarang, kita serah kepada kebijaksanaan pasukan polis untuk buktikan betul atau tidak kedatangan lelaki itu seperti yang disebut atau yang lain, semua dalam rangka soal siasat,” katanya kepada pemberita selepas majlis penerapan nilai-nilai murni dan ihya Ramadan sempena ulang tahun ke-11 Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di sini hari ini.

Semalam, dilaporkan seorang lelaki warga Israel berumur 36 tahun ditahan polis bersama enam pucuk pistol dan 200 peluru hidup di sebuah hotel di Jalan Ampang di Kuala Lumpur pada Rabu lepas.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata, keamanan, ketenteraman awam dan keselamatan rakyat di negara ini adalah terjaga.

“Beri ruang pada polis, ini kerja polis, buat masa sekarang semua pihak, termasuk jelata elak buat alasan dan spekulasi, saya yakin dengan kemajuan siasatan polis kerana tangkapan warga Israel ini yang gunakan pasport perjalanan Perancis berjaya dikesan dengan senjata dalam tempoh 48 jam,” katanya.

Beliau juga berkata, ESSCOM yang kini melangkah tahun ke-11, memiliki rekod gilang- gemilang kerana berjaya mengekang jenayah penculikan untuk wang tebusan dan kes itu sudah tidak berlaku sejak 2020.

“Ancaman keselamatan itu di Sabah jauh berkurangan dengan adanya ESSCOM, semua statistik menunjukkan pantai timur Sabah berpotensi sebagai destinasi pelancongan menarik.

“Beberapa bulan lepas, saya mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Sempadan dan, pihak Tourism Malaysia telah membuat pembentangan bagaimana kedatangan pelancong pada trend yang meningkat,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata, perkara itu dibantu oleh perubahan strategi dari segi koordinasi, selain mengkategorikan kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESS ZONE) sebagai bukan kawasan perintah berkurung, sebaliknya perintah kawalan pergerakan.

Pada majlis itu, beliau menyerahkan bantuan bakul makanan serta duit raya kepada 25 orang kurang upaya dan 19 anak yatim, yang merupakan anak petugas pasukan keselamatan di Lahad Datu. – BERNAMA

 

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *