BERITA UTAMA

Kapal bantuan kedua dari Cyprus menuju ke Gaza

LARNACA – Kapal kedua, flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, berlayar dari Cyprus semalam, selepas penghantaran terakhir melalui laut tiba lebih dua minggu lalu.

Hampir 400 tan bantuan sedang dibawa ke Gaza oleh dua badan amal iaitu World Central Kitchen yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dan Spanish Open Arms dari Sepanyol.

Flotilla tongkang bersama dua kapal itu meninggalkan pelabuhan Larnaca selepas usaha diplomatik oleh Cyprus untuk cuba membuka koridor maritim ke wilayah itu, yang dikepung tentera Israel sejak Oktober tahun lalu.

Wakil World Central Kitchen, Juan Camilo, dalam rakaman video dari flotilla berkata, bantuan yang sampai ke Gaza tidak mencukupi dan kami perlu membuka seberapa banyak cara yang mungkin.  

Susulan trak bantuan disekat daripada memasuki Gaza melalui jalan raya, amaran kebuluran berlipat ganda, sekali gus mendorong usaha antarabangsa untuk menghantar bantuan ke wilayah itu melalui udara atau laut.

Agensi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) sudah berulang kali menegaskan bahawa penghantaran darat adalah satu-satunya cara untuk membekalkan bantuan dalam jumlah yang diperlukan.

World Central Kitchen berkata penghantaran dari Cyprus mengandungi barangan seperti beras, pasta, tepung, bijirin, sayur-sayuran dalam tin dan protein.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyediakan kargo khas kurma, yang secara tradisinya dimakan ketika berbuka puasa setiap hari sepanjang bulan suci Ramadan, kata badan amal itu.

Jurucakap kerajaan Cyprus, Konstantinos Letymbiotis berkata, flotila mengambil masa kira-kira 65 jam untuk sampai ke Gaza, di mana sebuah dermaga sementara dibina untuk memunggah bantuan kemanusiaan.

Beliau berkata, kapal Jennifer membawa 282 palet bahan makanan berjumlah 237 tan dan sebuah kren beroda yang akan digunakan untuk memunggah bantuan manakala tongkang ARES membawa 109 bungkusan bantuan seberat 95 tan.

Kapal sokongan, Ledra Dynamic membawa kakitangan sokongan khusus yang akan mengendalikan kren yang dibawa oleh Jennifer, tambah Letymbiotis.

Kapal pertama, Open Arms, tiba di Gaza bersama tongkang yang dimuatkan dengan 200 tan makanan pada 15 Mac lalu, dalam percubaan untuk membuka koridor bantuan maritim, namun cuaca buruk di timur Mediterranean menghalang pelayaran kedua. – AFP

 

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *