BERITA UTAMA

Kanak-kanak maut, dua masih hilang dihanyut kepala air di Seri Kembangan

KUALA LUMPUR – Lima sekeluarga yang leka menjala ikan di sebuah sungai di Jalan KP 4/9 Kota Perdana, Seri Kembangan dekat sini, dihanyutkan arus dalam kejadian kepala air petang ini.

Bagaimanapun, seorang dari mereka dilaporkan lemas, manakala dua lagi selamat dan dua masih hilang.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, mangsa yang lemas ialah seorang budak lelaki berumur 10 tahun.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia selepas ditemukan oleh Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada jam 7.01 malam tadi.

“Mangsa ditemukan dalam jarak satu kilometer dari lokasi disyaki jatuh, manakala, ibunya yang berusia 38 tahun dan anak perempuannya berusia empat tahun masih hilang,” katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.

Jelas Ahmad Mukhlis, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada jam 4.35 petang daripada suami mangsa, Ahmad Suraidi, 40 tahun, yang terselamat.

Bertindak berdasarkan laporan, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang dibantu BBP Shah Alam digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Pada jam 5.18 petang, mangsa yang merupakan kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun berjaya ditemui dalam keadaan selamat oleh orang awam.

Ahmad Mukhlis berkata, operasi SAR diteruskan bagi mengesan dua lagi mangsa yang masih hilang.

Kesemua mangsa adalah warganegara Indonesia dan SAR kini menumpukan pencarian dua lagi ahli keluarganya yang masih hilang iaitu ibu dan anak perempuannya.

Keluarga berkenaan dikatakan sedang menjala di kawasan sungai berkenaan sebelum tiba-tiba air deras melanda sungai itu. – NasionalDaily

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *