BERITA UTAMA

Siapa warga tempatan bantu ejen Israel masuki Malaysia? – Ahmad Fadhli

KUALA LUMPUR – Pas mengucapkan syabas dan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kejayaan menahan seorang ejen Israel bersama enam pucuk senjata api beserta 200 butir peluru di ibu negara, pada Rabu lalu.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari dalam kenyataannya hari ini berkata, namun timbul persoalan siapakah ejen tempatan yang membantu warga Israel itu memasuki Malaysia?

“Harap polis segera membuat tangkapan dan pendakwaan terhadap pihak yang terlibat. Jangan lepaskan ejen ini keluar, hukum sekeras-kerasnya mengikut undang-undang negara kita yang berdaulat.

“Isunya bagaimana lelaki itu boleh melepasi pemeriksaan Imigresen dengan pasport Perancis? Bagaimana dia mendapatkan senjata api yang begitu banyak? Menteri KDN perlu jawab,” katanya dipetik Harakahdaily.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam sidang medianya memaklumkan polis Bukit Aman dan Kuala Lumpur telah menahan seorang lelaki warga Israel di sebuah hotel di Jalan Ampang. 

Katanya, dalam soal siasat itu, suspek menyatakan dia menggunakan pasport Perancis untuk memasuki negara ini.

Bagaimanapun, menurut beliau, suspek berusia 36 tahun itu kemudiannya memberikan satu lagi pasport miliknya yang mempunyai taraf kewarganegaraan Israel. 

Tambah Razarudin, hasil pemeriksaan polis menemukan enam senjata api iaitu jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sih Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru yang diletakkan dalam beg miliknya.

Beliau berkata, siasatan mendapati semua senjata berkenaan dibeli suspek sebaik tiba di negara ini dengan menggunakan mata wang kripto. – NasionalDaily

 

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *