BERITA UTAMA

Pas mahu tindakan tegas diambil kepada pihak laku serangan bom api di kedai KK Mart

KUALA LUMPUR – Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan Pas mengulangi pendirian sebelum ini supaya tindakan lebih tegas kepada pihak terlibat dalam isu penjualan stokin tertera kalimah Allah di pasaraya KK Mart yang telah mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini.

Ini selari dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 19 Mac lalu agar tindakan undang-undang dikenakan kepada pihak bertanggungjawab menyentuh sensitiviti umat Islam ini.

Pengerusinya, Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin berkata, pada masa sama, Pas menggesa semua pihak patuh kepada undang-undang dan mengharapkan polis membuat siasatan terperinci berhubung kes serangan bom api yang berlaku di pasaraya KK Mart di Bidor dan Kuantan yang berlaku semalam, agar pihak terbabit dibawa ke muka pengadilan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerantut menjelaskan, Islam tidak membenarkan tindakan berbentuk keganasan dan menyeru semua pihak bertenang serta menjunjung kedaulatan undang-undang di negara ini.

“Janganlah kita membuka pintu untuk memilih jalan keganasan dalam menghadapi perkara ini.

“Pas konsisten dengan pendekatan bersifat muwajahah silmiyyah iaitu pendekatan politik secara aman dalam mengharungi apa jua isu yang berlaku dalam negara ini.

“Pas mengulangi pendirian menggesa supaya jangan ada pihak yang mencetuskan perkara menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. – NasionalDaily

 

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *