BERITA UTAMA

Malaysia perlu tingkat kewaspadaan pencerobohan Israel

SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengucapkan tahniah kepada polis bertindak pantas mengesan dan menahan seorang warga Israel.

Penahanan lelaki terbabit yang menggunakan pasport Perancis bersama enam senjata api termasuk 200 butir peluru di sebuah hotel di Kuala Lumpur adalah kes yang amat serius.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, syabas juga kepada polis kerana berjaya menahan sepasang suami isteri warga tempatan kerana disyaki membekalkan senjata api kepada lelaki warga Israel itu.

“Kami menyokong ingatan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain agar tahap kawalan keselamatan terhadap golongan kenamaan seperti Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri ditingkatkan.

“Kami mengingatkan operasi perisik Israel iaitu Mossad sering melakukan misi asasinasi individu di luar Israel.

“Ingatan bahawa insiden pembunuhan seorang rakyat Palestin, Dr. Fadi Mohammed Al Batsh oleh pembunuh upahan disyaki dari perisik Israel di Kuala Lumpur pada 2018 menandakan keselamatan awam di negara ini sangat penting diutamakan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Mohd Azmi, begitu juga insiden pesawat milik syarikat Israel Aerospace Industries-Elta (IAI-Elta) yang melewati ruang udara Malaysia pada Mei 2021 .

Katanya, pada tahun 2022 pula berlaku sepasang suami isteri bersama 11 individu didakwa dalam kes menculik seorang warga Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

“Israel kini telah meletakkan posisi Malaysia sebagai negara sasaran natijah daripada beberapa pendirian tegas kerajaan terhadap Israel.

“Rakyat Malaysia juga amat aktif menentang Israel termasuk melancarkan boikot ke atas barangannya.

“Kini ketika kerajaan tertonjol antara negara yang tegas mengecam Israel dan menggerakkan kempen antarabangsa menyokong Palestin, Malaysia pasti menjadi perhatian Israel,” ujar beliau.

Justeru, MAPIM menyeru pihak berkuasa meningkatkan risikan dan mengesan sebarang pergerakan Israel yang mengguna pengkalan negara jiran untuk melakukan operasi ke atas Malaysia.

Jelas beliau, rakyat juga perlu berwaspada terhadap operasi agen perisik Israel yang mahu melakukan operasi pengintipan di Malaysia. – NasionalDaily

 

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *