BERITA UTAMA

Ke mana gerakan Proklamasi Orang Melayu?

Oleh: Azman Mohd Hashim

PROKLAMASI Orang Melayu yang dilancarkan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 19 Mac tahun lalu dan disokong ramai orang Melayu dari pelbagai peringkat sehingga pemimpin Melayu seperti Tan Sri Abdul Hadi Awang, Tan Sri Annuar Musa dan ramai lagi, masih segar dan aktif.

Perkara 12 yang tertulis dalam Proklamasi Orang Melayu telah dipersetujui ramai orang Melayu dengan cara menurunkan tandatangan pada borang proklamasi.

Ia sebagai pengakuan dan komitmen betapa untuk maju ke hadapan orang Melayu perlu bertaut kembali dan bersatu seperti tercatat pada Perkara 12 Proklamasi.

Proklamasi Orang Melayu adalah cara untuk orang Melayu menyedari dan berusaha mengatasi segala kelemahan serta kekurangan baik dari segi ekonomi, sosial dan juga kepincangan pemimpin Melayu.

Hari ini, acap kali bangsa Melayu diuji, yang mana terbaru kalimah Allah dicetak pada stoking yang digunakan untuk menyarung kaki dan dijual kepada awam di pasar mini dan laungan negara ini negara sekular di Parlimen.

Kenapa semua ini berlaku? Jika bukan kerana bangsa Melayu dilihat penyatuannya rapuh. Sudahlah Melayu berpecah kepada banyak kumpulan baik parti politik mahupun NGO, pemimpin-pemimpinnya pula membawa agenda masing-masing sama ada bersifat kepentingan peribadi mahupun kumpulannya sendiri.

Proklamasi Orang Melayu adalah janji orang Melayu untuk bertaut, bersatu dan menjadi padu. Proklamasi Orang Melayu adalah untuk orang Melayu mempertahankan maruah bangsa agar dihormati dan ia juga untuk mempertahankan tanah Melayu ini dari terlepas ke tangan orang lain.

Jadikan Proklamasi Orang Melayu sebagai fokus perpaduan bangsa Melayu. Gerakan sedang dirancang untuk membawa semangat Proklamasi Orang Melayu ke jangkauan jiwa bangsa Melayu di seluruh tanah Melayu.

Mereka yang telah menandatangani proklamasi dan memahami kandungannya, ayuh gerak bersama demi penyatuan bangsa dan mempertahankan agama dan negara. – NasionalDaily

 

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *