BERITA UTAMA

Galak bukan Islam sertai majlis berbuka puasa

TUMPAT Masyarakat bukan Islam sewajarnya diberi pendedahan mengenai kemurnian Islam supaya mereka lebih memahami dan tidak terpengaruh dengan dakyah pihak tidak bertanggungjawab.

Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakub berkata, wajar program anjuran kerajaan negeri seperti majlis berbuka puasa, program Badar al-Qubra dan sebagainya disertai masyarakat bukan Islam.

“Orang bukan Islam apabila didedahkan mengenai kemurnian agama kita, secara jujur mereka akan cuba fahami Islam yang penuh kasih sayang,” katanya dipetik Harakahdaily ketika berucap pada majlis Program Penghayatan Nuzul al-Quran dan Badar al-Kubra di Pantai Geting, dekat sini, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud; dan Exco kerajaan negeri, Wan Roslan Wan Hamat.

Menurut Ahmad, bagi merealisasikan hasrat itu Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) Kelantan sering dijemput menghadiri program yang dianjur kerajaan negeri khususnya pada bulan Ramadan.

Katanya, jika dakwah tersebut berjalan dengan baik dan tersusun, ia dapat menarik golongan berkenaan untuk memahami kesucian Islam.

“Walaupun kita tidak pernah mengganggu orang bukan Islam, tetapi mereka sengaja mencampuri urusan hal orang Islam.

“Untuk itu kita perlu menangani perkara ini dengan baik, penuh hikmah, dengan penuh iman dan taqwa kita agar perkara sedemikian tidak lagi berlaku,” katanya lagi.

Beliau turut menyeru masyarakat Kelantan supaya memahami peristiwa Nuzul Quran dan Badar Qubra sebaiknya kerana ia mempunyai peringatan yang penuh bermakna. – NasionalDaily

 

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *