BERITA UTAMA

Warga asing bukan nak culik bayi, tapi bantu naik tangga – KP Selangor

SHAH ALAM – Tiada unsur penculikan dikesan dalam kejadian bayi perempyan berusia 19 bulan yang didakwa cuba dilarikan dua warga asing di sebuah pasar raya berdekatan Klang Sentral, Isnin lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati berlaku salah faham mengenai kejadian itu selepas pihaknya meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pasar raya berkenaan.

“Siasatan mendapati ketika kejadian mangsa bersama ibu dan ibu saudaranya menaiki tangga bergerak yang ketika itu rosak dan mangsa dilihat sukar menaiki tangga itu.

“Kebetulan dua lelaki warga asing itu turut berada berdekatan mangsa dan mereka mengangkat mangsa dengan tujuan membantu, bagaimanapun perbuatan itu disalah erti ibu mangsa yang menyangka anaknya itu cuba dilarikan,” katanya yang dipetik laporan Harian Metro.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati dua lelaki warga asing itu bekerja secara sah di kilang berdekatan dan sering ke pasar raya itu untuk membeli barangan keperluan.

Katanya, suspek juga tidak melarikan diri ketika ditahan orang awam, selain semakan mendapati tiada sebarang persediaan untuk menculik dikesan di sekitar pasar raya itu seperti kenderaan untuk melarikan mangsa.

“Bagaimanapun, kertas siasatan akan kita lengkapkan dan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan seterusnya.

“Saya juga menasihatkan orang ramai tidak sewenangnya memegang anak orang lain terutama yang tidak dikenali kerana ia akan menimbulkan salah faham dan panik,” katanya.

Media pada Isnin lalu melaporkan seorang ibu mengalami detik mencemaskan apabila bayi perempuannya didakwa cuba dilarikan dua lelaki warga asing di pasar raya.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai wang melebihi RM500,000 dalam bagasi yang ditemui di tempat letak kenderaan sebuah pusat beli-belah di Damansara minggu lalu, Hussein berkata, individu yang mendakwa wang itu milik syarikatnya belum tampil memberikan keterangan.

“Sebelum ini kita menerima satu laporan daripada seorang lelaki yang mendakwa wang itu milik syarikat bagaimanapun sehingga sekarang dia belum tampil memberikan keterangan serta bukti-bukti yang menyatakan itu adalah wang dia.

“Pada ketika ini, dia janji akan datang beri keterangan pada 30 Mac iaitu esok. Selepas dirakam percakapan itu, kita akan lihat bukti-bukti yang ditunjukkan jika wang berkenaan benar milik syarikatnya,” katanya. – NasionalDaily

 

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *