BERITA UTAMA

PADU tak sepatutnya kumpul maklumat peribadi tiada kaitan status pendapatan – Premier

KUCHING – Adalah tidak munasabah bagi Pangkalan Data Utama (PADU) mengumpul maklumat peribadi yang terlalu terperinci dan teliti daripada rakyat sehingga menimbulkan persoalan serta kebimbangan semua pihak. 

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perlu ada had di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi untuk melindungi maklumat peribadi rakyat, selaras dengan peruntukan perlembagaan terutama dari segi kebebasan. 

“Anda mempunyai hak untuk tidak mendedahkan maklumat peribadi anda. 

“Tapi sekiranya ia berkaitan dengan pendapatan dan juga keadaan ekonomi, sudah tentu data itu lebih relevan,” katanyakepada pemberita selesai menghadiri Majlis sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak Tahun 1445H/2024M di Masjid Al-Muttaqin Kota Samarahan pada malam Rabu.

Abang Johari bagaimanapun, menyatakan kerajaan negeri tetap menyokong objektif murni PADU yang antara lainnya bertujuan untuk melaksanakan subsidi bersasar dan membolehkan kerajaan merasionalkan subsidinya dan mengelak potensi ketirisan dalam pengagihan subsidi.

“Mereka yang berada dalam kategori itu mesti diberi bantuan. Akan tetapi maklumat yang diperlukan (PADU) begitu terperinci sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai,” katanya dipetik Utusan Borneo.

Dalam pada itu, Abang Johari mendedahkan beliau belum mendapat maklumat lanjut mengenai pertemuan antara pihak Kementerian Ekonomi dengan wakil kerajaan Sarawak bagi membincangkan isu PADU. 

“Terpulang kepada bila rombongan daripada Kementerian Ekonomi hendak datang kerana sudah semestinya Menteri Ekonomi Rafizi Ramli ingin lebih tahu punca Sarawak memohon PADU ditangguhkan.

“Kita juga mahu mendapatkan maklumat-maklumat yang lain (mengenai sistem PADU ini) khususnya membabitkan sudut privasi,” katanya.

Difahamkan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki pada malam tersebut telah mengesahkan pihak kementerian ekonomi akan datang ke Sarawak pada minggu depan untuk membincangkan perkara itu.

Media sebelum ini melaporkan, Sarawak meminta beberapa perubahan dibuat berkait maklumat peribadi yang diminta diisi dalam sistem PADU berikutan timbul keraguan berhubung maklumat peribadi individu yang tidak sepatutnya didedahkan.

Selain itu, isi pelanggaran dan kebocoran data yang berleluasa ketika ini juga menjadi kebimbangan utama kerajaan Sarawak sehingga mengarahkan pendaftaran PADU ditangguhkan. – NasionalDaily

 

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *