BERITA UTAMA

ICJ arah Israel pastikan bantuan kemanusiaan segera di Gaza atasi kebuluran

THE HAGUE – Mahkamah tertinggi dunia semalam mengarahkan Israel memastikan bantuan kemanusiaan segera di Gaza tanpa bertangguh dengan menekankan kebuluran sedang berlaku.

Perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dibuat ketika pertempuran sengit terus berlaku di wilayah terkepung itu dengan sebuah badan amal perubatan utama berkata, ia tidak melihat sebarang perubahan sejak resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) minggu ini menuntut gencatan senjata segera.

“Israel hendaklah mengambil semua langkah yang perlu dan berkesan untuk memastikan tanpa berlengah-lengah penyediaan tanpa halangan perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan yang diperlukan segera di Gaza,” menurut ICJ.

Ini termasuk keperluan makanan, air, elektrik, bahan api, tempat tinggal, pakaian, kebersihan dan sanitasi serta bekalan perubatan dan penjagaan perubatan kepada rakyat Palestin di seluruh Gaza, kata hakimnya.

“Rakyat Palestin di Gaza tidak lagi berdepan risiko kebuluran, sebaliknya kebuluran sedang berlaku,” kata mahkamah yang berpangkalan di Hague.

Sejak perang tercetus 7 Oktober lalu, kempen balas dendam Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 32,552 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas.

Di ICJ, Afrika Selatan mendakwa Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, satu tuduhan dinafikan oleh Israel.

Pretoria mengheret Israel ke mahkamah dan berkata, rejim itu melanggar kewajipan di bawah Konvensyen Genosid PBB 1948, dan menggesa mahkamah mengarahkan gencatan senjata.

Dalam keputusan pada pertengahan Januari yang menjadi tajuk utama di seluruh dunia, ICJ mengarahkan Israel melakukan segala yang boleh untuk mencegah pembunuhan beramai-ramai ketika serangan Gaza.

Mahkamah juga memutuskan Israel mesti membenarkan bantuan ke Gaza untuk meredakan keadaan kemanusiaan yang terdesak di sana.

Afrika Selatan menyusuli dengan permintaan untuk langkah baharu beberapa minggu kemudian, tetapi mahkamah enggan mengenakan langkah tambahan.

Tidak berputus asa, Pretoria mencuba sekali lagi, kali ini menggesa mahkamah mengenakan langkah kecemasan untuk menyelamatkan rakyat Palestin di Gaza yang mati kelaparan.

Israel berkata, Afrika Selatan terbabit dalam eksploitasi terhadap prosedur mahkamah.

Bagaimanapun hakim ICJ semalam berkata, keputusan pertengahan Januari “tidak menangani sepenuhnya akibat yang timbul daripada perubahan dalam keadaan… sekali gus mewajarkan pengubahsuaian langkah ini”.

Pretoria memuji keputusan terbaru ICJ itu dengan menyifatkannya sebagai penting.

Sementara itu, pertempuran jalanan terus berlaku berhampiran sebuah hospital di Gaza, dengan krisis kemanusiaan dan angka kematian yang meningkat menyebabkan ketegangan antara Israel dan sekutu utamanya Amerika Syarikat.

Ketegangan memuncak selepas Washington pada Isnin membenarkan UNSC meluluskan resolusi pertamanya menggesa “gencatan senjata segera” dan pembebasan tebusan di Gaza dengan berkecuali daripada pengundian.

Washington semalam berkata, ia masih mengkaji keputusan ICJ dan tidak mempunyai ulasan segera mengenai kandungannya.

“Tetapi sebagai cadangan umum, sudah tentu, meningkatkan bantuan kemanusiaan ke Gaza adalah sesuatu yang kami sokong dan sesuatu yang kami telah menggesa Israel untuk membantu memudahkan,” kata jurucakap Jabatan Negara, Matthew Miller.

Badan amal perubatan MSF semalam berkata tiada perubahan di lapangan sejak resolusi UNSC.

“Apa yang diperlukan ialah gencatan senjata segera dan berkekalan, menghentikan semua serangan termasuk ke atas kakitangan perubatan dan bantuan kemanusiaan tanpa halangan di Gaza”, kata presiden antarabangsa MSF Christos Christou kepada AFP.

Walaupun perang telah mengubah sebahagian besar wilayah itu menjadi tanah terbiar yang musnah dengan bangunan runtuh dan landasan kereta kebal, Israel juga telah mengenakan kepungan terhadap 2.4 juta penduduknya, hanya diredakan dengan penyampaian bantuan sekali-sekala.

ICJ ditubuhkan untuk memutuskan pertikaian antara negara dan sementara penghakimannya mengikat di sisi undang-undang, ia mempunyai sedikit cara untuk menguatkuasakannya.

Sebagai contoh, mahkamah telah mengarahkan Russia untuk menghentikan pencerobohannya ke atas Ukraine, tetapi tidak berjaya. – AFP

 

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *