BERITA UTAMA

Penyelam sukar cari kotak hitam helikopter kerana arus deras, dasar laut berlumpur

KUALA SELANGOR – Misi mencari kotak hitam milik helikopter AW139 yang melakukan pendaratan cemas di Pulau Angsa pada 5 Mac lalu diteruskan.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, pihaknya mengambil masa untuk menemui kotak hitam itu berikutan arus deras di dasar laut.

Selain itu, katanya, pasukan penyelam juga berdepan dengan jarak penglihatan dalam air yang terhad akibat dasar laut berlumpur.

“Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berdepan kesukaran mengesan kotak hitam helikopter disebabkan keadaan semasa di lokasi kejadian.

“Ini kerana 21 penyelam agensi ini yang terlibat dalam pencarian memaklumkan keadaan arus deras di dasar laut, selain jarak penglihatan dalam air terhad akibat dasar laut berlumpur,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pencarian yang memasuki fasa kedua memfokuskan keluasan lokasi kotak hitam antara 50 sehingga 100 meter radius berpandukan signal daripada ‘pinger’.

Katanya, berdasarkan maklumat dari Pusat Hidrografi Nasional (PHN) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kotak hitam itu dipercayai berada di sekitar 700 hingga 800 meter dari kawasan pendaratan cemas helikopter itu.

Maritim Malaysia yakin akan menjumpainya dalam masa terdekat berdasarkan kedudukan terkini dikesan.

Pada 5 Mac lalu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah helikopter yang dikendali Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia terhempas di perairan Pulau Angsa, Klang, Selangor, namun tiada kehilangan nyawa dilaporkan dalam kejadian itu.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud dalam kenyataan memaklumkan kejadian itu membabitkan helikopter model AW139 nombor pendaftaran M72-01 yang membawa empat orang termasuk juruterbang.

Helikopter malang itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pada jam 9.10 pagi bagi latihan penerbangan.

Hubungan terakhir pesawat dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan pada jam 9.20 pagi, namun tiada panggilan kecemasan diterima.

Berikutan itu, Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur di Pusat Kawalan Trafik Udara diaktifkan serta-merta untuk mengenal pasti lokasi helikopter terbabit sejurus menerima laporan berhubung kejadian itu. – NasionalDaily

 

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *