BERITA UTAMA

Muhyiddin mohon kebenaran cabar keputusan Mahkamah Rayuan

PUTRAJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengemukakan permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang mengarahkan kes rasuah RM232.5 juta yang dihadapinya dikembalikan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

Ia susulan panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail membuat keputusan secara sebulat suara, membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan mantan Perdana Menteri itu atas empat tuduhan rasuah terbabit.

Muhyiddin, 77, yang juga Presiden Parti Bersatu, selaku pemohon memfailkan notis usul di pejabat pendaftar Mahkamah Rayuan di sini semalam melalui Tetuan Chetan Jethwani & Company dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Sinar Harian melaporkan, menerusi notis usul permohonan itu, Ahli Parlimen Pagoh tersebut memohon mahkamah menyemak keputusan yang telah disampaikan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Azmi Ariffin dan Datuk SM Komathy Suppiah pada 28 Februari lalu.

Pada hari berkenaan, rayuan responden telah dibenarkan yang mana keputusan Mahkamah Tinggi pada 15 Ogos 2023 telah diketepikan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) ini memohon untuk mengetepikan keseluruhan keputusan Mahkamah Rayuan dan mengembalikan perintah yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi.

“Alasan bagi menyokong notis usul ini telah dihuraikan dalam afidavit pemohon, yang mana keputusan tersebut adalah tidak sah dan atau menyalahi undang-undang.

“Ini kerana, ia dibuat tanpa bidang kuasa seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 50(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964,” kata notis berkenaan.

Pada 28 Februari lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara membenarkan permohonan pendakwa raya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Muhyiddin dari empat pertuduhan kes salah guna kedudukan untuk suapan RM232.5 juta bagi Parti Bersatu, pada 15 Ogos tahun lepas.

Muhyiddin, sebagai Perdana Menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, bagi parti berkenaan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Pemimpin Bersatu itu juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Februari dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022.

Muhyiddin juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lepas tahun lepas atas pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama. – NasionalDaily

 

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *